Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Suasana santai namun dengan gaya mewah dan eksklusif menjadikan kafe The Jakpong Signature di Bahau, Negeri Sembilan mula menjadi lokasi pilihan ramai untuk menjamu selera.
Tampak luaran seperti sebuah kopitiam, namun kafe ini menawarkan pelbagai jenis menu makanan seperti masakan Barat, shell out dan kek premium beraneka rasa.
Menurut pemiliknya, Mohd. Asraf Mohamad Jaafar, konsep kafe tersebut adalah santai namun eksklusif bagi mereka yang inginkan ketenangan dan merasai gaya mewah ketika menjamu selera.
“Kafe ini baharu saja dibuka pada 11 November lalu dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dilaksanakan ini tentu ia memberi peluang kepada mereka yang bekerja dari rumah atau pelajar yang belajar menerusi dalam talian bagi mendapatkan lokasi yang tenang untuk melaksanakan tugasan masing-masing.
“Ditambah pula dengan harga hidangan kami yang begitu ekonomi membuatkan pengunjung tidak rasa terbeban dengan harga walaupun dalam suasana kafe yang serba mewah,” katanya.
Jelas Mohd. Asraf, The Jakpong Signature adalah cawangan ketiga kafe di bawah syarikat MNK Legacy International Sdn. Bhd.
“Di bawah syarikat diuruskan saya dan isteri, kami sudah ada dua ‘signature kafe; iaitu Meqnor Kitchen di Labu dan Bahau.
“Kini, saya wujudkan The Jakpong Signature dengan konsep berbeza daripada dua kafe sedia ada itu,” katanya .
Katanya yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masakan, menu yang ada di The Jakpong Signature tidak ada di dua kafe yang lain.
“Ada pelanggan yang datang bertanya kenapa sudah ada Meqnor Kitchen masih buka cawangan walaupun nama berbeza tapi di tempat yang sama.
“Jawapan saya, The Jakpong Signature bagi saya bukanlah milik saya seorang tetapi milik kesemua pekerja saya yang setia. Pengurus cawangan di sini adalah pekerja yang sudah lapan tahun bersama saya, daripada tukang ambil tempahan, kini dia sudah menjadi pengurus cawangan.
“Mungkin selepas ini ada lagi cawangan selanjutnya yang akan dibuka untuk memberi peluang kepada pekerja saya meningkatkan taraf kerjaya mereka” katanya.
Tambah Mohd. Asraf, harga yang ditawarkan di kafe The Jakpong Signature adalah bermula daripada RM4.50 hingga RM165.90.
“Killer menu yang ditawarkan di sini adalah Shout up iaitu gabungan makanan antara Barat dan Timur,” katanya.
“Untuk mereka yang hanya ingin bersantai bersama teman-teman kafe ini juga menyediakan beraneka kek dan kopi. Datanglah ke sini dan rasakan suasana yang berbeza,” katanya. – Mingguan Malaysia