Petaling Jaya: Pelajar tahun akhir Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berjaya menganjurkan program CSR bertemakan ‘Hands for Hope’.
Dilaksanakan oleh The PResence Agency di Sekolah Kebangsaan (Asli) Bukit Cheding, Jenjarom, program ini melibatkan 68 kanak-kanak orang asli berusia sembilan hingga 12 tahun. Dengan bimbingan Encik Abuzar Abdul Halim, pendekatan interaktif diterapkan untuk meningkatkan keyakinan diri, kebahagiaan, dan pembelajaran aktif.
Aktiviti utama termasuk sesi penjagaan kesihatan oral bersama Dr. Habib Firziq dari Universiti Malaya serta permainan seperti Dance To The Toothbrush Rhythm dan DIY Dentist Game . Selain itu, sesi Fun Learning dan Happy Hour with Confidence Game menumpukan pada kreativiti, komunikasi, dan kerjasama kumpulan.
“Program ini membina keyakinan diri serta menyedarkan kanak-kanak tentang pentingnya pendidikan dan kesihatan,” kata Encik Abuzar. Ketua projek, Cik Iman Nylea, berharap usaha ini memberi impak besar kepada pembangunan diri kanak-kanak.
Melalui ‘Hands for Hope’, UiTM terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan masyarakat, khususnya komuniti orang asli, sebagai langkah ke arah perubahan positif.