10 peserta Kursus Fiber Optik Muip-UMP Advanced peroleh pekerjaan - Utusan Malaysia

10 peserta Kursus Fiber Optik Muip-UMP Advanced peroleh pekerjaan

MOHD. SHARIL Abdullah (lima dari kanan) dan Ahmad Hairi Hussain (empat dari kanan) bersama peserta program Latihan Kursus Fiber Optik dalam Majlis Tamat Latihan Program Kemahiran Anak-anak Asnaf di UMP Paya Besar di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 10 peserta Program Latihan Kursus Fiber Optik tajaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan kerjasama UMP Advanced Education (UMP Advanced) berjaya menamatkan latihan dan memulakan pekerjaan dalam bidang fiber optik di sekitar Temerloh dan Bentong.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Datuk Mohd. Sharil Abdullah berkata, program ini merupakan program latihan teknikal dan penempatan pekerjaan anak-anak asnaf dengan kemahiran teknikal dalam bidang fiber optik yang ditaja penuh oleh Muip.

“Program ini melibatkan 10 orang anak-anak asnaf negeri ini yang sudah pun terpilih dan terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa latihan selama 12 hari serta fasa penempatan pekerjaan,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Perpustakaan UMP Paya Besar di sini.

Fasa latihan Program Latihan Kursus Fiber Optik dikelolakan oleh Malaysian Technical Skills Academy (MTSA) iaitu rakan kerjasama UMP Advanced bermula 31 Oktober sehingga 12 November lalu.

Peserta juga menerima sijil kompetensi iaitu Outside Plant Installer (TM CA 2C Premise Cabling) daripada pihak Telekom Malaysia Berhad, Authorised Entrant & Standby Person (AESP) dan Safety Passport daripada Institut Kesihatan dan Keselamatan pekerjaan (NIOSH).

Mohd. Sharil turut menghargai kerjasama pihak Muip bersama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan UMP Advanced serta menggalakkan agar program kerjasama strategik ini sentiasa diwujudkan sebagai pemangkin ekonomi bagi membantu lebih ramai golongan asnaf.

“Kami begitu berbesar hati sekiranya terdapat jaringan usahasama berterusan dan meneroka lebih banyak peluang pada masa akan datang bagi membangunkan sosioekonomi anak-anak asnaf sekitar negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain turut menzahirkan rasa syukur kepada UMP Advanced kerana sudi membantu dalam menawarkan kursus serta penempatan pekerjaaan kepada para peserta Kursus Fiber Optik yang terdiri daripada anak-anak asnaf negeri ini.

Peserta program, Mohd. Amin Muslim Mohd. Aliyas berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada Muip dan UMP kerana terpilih menyertai program itu.

Katanya, bermula 1 Disember lalu, dia dan peserta lain sudah pun memulakan pekerjaan dalam bidang fiber optik di sekitar Temerloh serta Bentong bersama syarikat Lebak Makmur Sdn. Bhd. yang membantu mereka secara terus dengan memberikan penginapan yang selesa bermula hari lapor diri sehingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya