KUALA LUMPUR : Penceramah bebas dan juga bekas peserta program Pencetus Ummah musim keempat, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berpendapat, bidang pengajian pengurusan Haji dan Umrah wajar diperkasakan lagi secara meluas.
Menurutnya, ia memandangkan terdapat permintaan yang tinggi berdasarkan peningkatan jemaah haji dan umrah saban tahun.
“Program seperti ini adalah sangat penting untuk diiktiraf di peringkat yang lebih tinggi. Ini memandangkan ia mempunyai keperluan serta permintaan yang banyak daripada umat Islam.
“Haji dan umrah merupakan salah satu ibadah yang menjadi tuntutan agama. Sepatutnya bidang seperti ini perlu diperkasa dan disambut baik seperti kewujudan bidang pelancongan
dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya.
PU Riz berkata demikian usai majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antaranya dengan pihak YEG Academy (M) Sdn. Bhd. yang diwakili oleh dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa, Fikri Hasbi.
MoU yang berlangsung secara fizikal pada tarikh 17 Februari lalu adalah bertujuan untuk memperkasa bidang baharu, Diploma Pengurusan Haji dan Umrah yang dilihat sangat relevan pada masa kini.
Selain itu, menurut Pu Riz, secara peribadi, dia bersetuju dengan hal tersebut kerana dirinya sendiri pernah mempunyai pengalaman sebagai seorang mutawif sebelum ini.
Cik Manggis
Malah, dia juga pernah membawa rakan-rakan artis seperti Cik Manggis dan Rozita Che Wan ke Tanah Suci Mekah sambil menjalankan aktiviti penggambaran di sana.
Dalam pada itu, kerjasama PU Riz sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah dijangka bakal memberi nilai tambah di samping penglibatan PU Amin yang telah menyertai keluarga besar Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di fakulti ini sejak beberapa tahun yang lepas.
Program diploma berkenaan turut menjadikan YEG Academy sebagai rakan strategik industri bagi menguruskan kelancaran tadbir urus pengajian.
YEG Academy merupakan sebuah platform pendidikan dan kerjaya yang sentiasa menyokong jalinan kerjasama seperti ini supaya usaha memperkenalkan bidang yang mempunyai pasaran
kerjaya yang tinggi pada masa kini dan hadapan dapat diperluaskan lagi kepada seluruh masyarakat .
Sebagai contoh, bermula Mac ini YEG Academy bakal menjalankan sebuah inisiatif dalam membantu golongan lepasan SPM untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi dengan
melangsungkan YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang.
Akademi itu juga yakin usaha-usaha seperti ini dapat mengatasi kegusaran majikan terhadap kemahiran dan sikap para graduan yang tidak menepati kriteria sesebuah jawatan
yang diberikan di tempat kerja. – UTUSAN