SERDANG: Penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang Kolej 14 Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program-program berbentuk ilmiah dan bermanfaat untuk para pelajar.
Sepanjang Jun lalu, Kolej 14 UPM menerusi Majlis Perwakilan Kolej dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) menganjurkan empat siri webinar antarabangsa.
Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) merupakan topik penting dalam webinar tersebut khusus untuk para pelajar program perladangan UPM bagi berkongsi maklumat tentang peranan dan tanggungjawab MPOCC, kemampanan minyak sawit melalui pensijilan MSPO serta hala tuju industri perladangan kelapa sawit di negara ini.
Dalam webinar itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC, Mohammad Hafezh Abd. Rahman berkongsi dengan para pelajar serta orang ramai mengenai potensi pasaran global dan peranan pensijilan MSPO sebagai pilihan utama dalam pengurusan perladangan kelapa sawit secara mampan.
Selain itu, penceramah-penceramah lain juga berkongsi strategi dalam memperkasakan pensijilan MSPO berikutan sumbangan ekonomi daripada perladangan kelapa sawit amat besar untuk negara di samping negara perlu memastikan pengurusan ladang kelapa sawit dijalankan secara lestari dan mampan.
Peranan pihak industri dalam membantu membentuk intelek dan sahsiah pelajar institusi pengajian amat penting.
Selain memberi peluang kepada pelajar untuk merasai dunia pekerjaan, pihak industri banyak membantu dalam perkongsian ilmu dalam pengajian dan aktiviti pelajar.
Hal ini penting untuk para graduan kita mendapat maklumat yang tepat agar mereka dapat mengaplikasikannya di alam pekerjaan kelak. – UTUSAN ONLINE