Sembang Bukan Gebang (SBG) adalah satu lagi buah tangan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menampilkan bual bicara santai dan bebas. Ia meliputi pelbagai topik perbincangan dan perkongsian pengalaman, maklumat dan kepakaran yang memberi manfaat kepada komuniti budaya.
Menampilkan panel jemputan terdiri daripada gabungan 3P (Pentadbir Seni, Penggiat Seni dan Pengkaji Seni) yang pakar dalam bidang seni budaya di Malaysia dan antarabangsa.
SBG membuka tirai 20 Jun lalu dengan membicarakan topik ‘Lagu Puisi’. Menampilkan tiga panel iaitu Siso Kopratasa; aktivis lagu puisi, Ahmad Ramli, Badrul Hisham Abdul Hamid dan penggiat seni yang juga aktivis teater, Badrul Munir Md. Isa atau lebih dikenali dengan pentasnya Pak Abang.
Perbincangan berkisar kepada persoalan dan penciptaan lagu puisi dan era penerimaan masyarakat terhadap lagu puisi ketika tahun 90-an.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, SBG menyediakan ruang kepada hos dan panel jemputan mingguan berdiskusi tanpa sempadan berkaitan hal-hal seni budaya yang akhirnya menyimpulkan rumusan yang menarik.
“Dalam musim pandemik ini, wajar kita mendekati tokoh-tokoh, penggiat, pengamal dan pentadbir serta mereka yang pakar dalam ilmu seni budaya secara terbuka untuk suntikan semangat kepada generasi muda di zaman kian mencabar ini.
“Sumbangan ilmu dan pengalaman mereka telah merancakkan industri seni budaya sejak sekian lama dan sehingga kini buah fikiran mereka masih diperlukan dalam aspek pembangunan seni budaya tanah air,” katanya.
Topik ‘Teater Malaysia’ menjadi fokus SBG bagi siri kedua dengan menampilkan karyawan teater Roslee Mansur, Dr. Rosminah Tahir dan Pak Abang.
Dalam siri kali ini, SBG mengetengahkan dua hos iaitu Adiwangsa Sukma dan Siso Kopratasa. Kedua-duanya mempunyai pengalaman dan bergiat aktif dalam seni teater pada tahun 90-an.
Pensyarah Aswara, Dr. Rosminah Tahir dalam perkongsiannya mengambil contoh pementasan teater 4 Dara 4 Nyonya menghadapi cabaran besar apabila jumlah pelakon dan tenaga produksi terpaksa dikurangkan daripada jumlah asal untuk memenuhi keperluan prosedur operasi standard (SOP) dalam suasana pendemik ini.
Beliau berkata, walaupun ada limitasi seperti penjagaan jarak dan pelakon perlu memakai pelitup muka namun ia berjaya dipentaskan dengan pematuhan SOP.
“Sebagai insan seni orang teater sentiasa boleh mengadaptasi dan kreatif mencipta suasana persembahan bersesuaian dengan norma kini sebagai contoh memindahkan persembahan secara langsung kepada persembahan secara maya, cuma mungkin kepuasan audiens akan berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Pak Abang berpandangan, teater kini dalam fenomena baharu dan orang seni perlu rebut peluang ini untuk memastikan bahawa teater masih relevan ditonton masyarakat.
Dalam pada itu teater happening atau dikenali sebagai teater jalanan perlu diberi tumpuan oleh aktivis teater dalam suasana norma baharu.