UMK tawar dua program pengajian baharu - Utusan Malaysia

UMK tawar dua program pengajian baharu

MOHD. RAFI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan dua program pengajian baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat yang bermula pada kemasukan semester Februari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Mohd. Rafi Yaakob berkata, dua program baharu itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya memenuhi keperluan pasaran pekerjaan mencakupi pelbagai bidang pada masa depan.

“Program-program ini dilengkapi modul pembelajaran berdasarkan pengetahuan, latihan dan kepakaran teknikal dalam bidang masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rafi, UMK menjadi universiti awam pertama yang memasukkan kursus Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) ke dalam struktur program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan,

Katanya, penuntut program tersebut dikecualikan daripada sembilan modul asas ACCA atau empat modul profesional MICP dan perlu mengambil minimum dua modul profesional ACCA atau dua modul lanjutan MICPA.

“Mereka ditempatkan di industri atau majikan yang diluluskan ACCA atau MICPA selama setahun dan ini peluang terbaik kepada penuntut memperoleh pengalaman kerja industri yang relevan,” katanya.

Bagi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat pula, beliau memberitahu, ia merangkumi dua pilihan aliran iaitu Kepintaran Buatan serta Sains Data dan mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Malaysia Board of Technologists (MBOT).

“Aliran Kepintaran Buatan adalah cabang ilmu yang mampu menjadikan komputer, perisian atau aplikasi mempunyai kepintaran seperti manusia seperti kebolehan mengecam muka, memahami pemahaman bahasa tabii serta bertutur.

“Aliran Sains Data pula adalah disiplin ilmu menggunakan kaedah saintifik, proses, algoritma dan sistem untuk mendapatkan pengetahuan serta pandangan dari data dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan MBOT membuktikan program ditawarkan UMK itu bertaraf profesional dalam bidang teknologi, sekali gus memberi kelebihan kepada graduan untuk bekerja di sektor teknologi atau teknikal sama ada tempatan atau antarabangsa.

Sebarang maklumat lanjut mengenai dua program ditawarkan UMK ini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Komunikasi Korporat UMK di talian 09 779 7000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya