PEKAN: Menyantuni anak-anak istimewa adalah antara program dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat institusi pengajian tinggi berkenaan.
Dalam Program UMP Prihatin anjuran Yayasan UMP dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor (PNC) universiti itu, seramai 63 anak-anak istimewa dirai dan menerima bantuan yang disampaikan Pengerusi UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad serta Pengerusi Yayasan UMP, Datuk Seri Md. Sharif Shamsuddin.
Yang hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin.
Md. Sharif berkata, kesemua yang dirai adalah anak-anak sekitar komuniti dan masyarakat setempat serta anak kakitangan UMP.
“Yayasan UMP membelanjakan kira-kira RM2.2 juta untuk sumbangan insentif penuntut baharu bagi pembiayaan kemasukan ke universiti, insentif kecemerlangan, biasiswa ijazah sarjana dan lain-lain yang dimanfaatkan bersama komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Hafizah Mohamad Hamdan berterima kasih kepada UMP kerana merai dan menyampaikan bantuan kepada anaknya, Muhammad Adam Ayrash Abdullah yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir.
“Saya terharu dengan sumbangan yang diberikan oleh Yayasan UMP kerana sentiasa cakna dengan masyarakat setempat,” katanya.
Muhammad Adam merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Serandu di Pekan yang sebelum ini pernah menerima kerusi roda khas (Adam’s Chair) dihasilkan oleh mahasiswa dan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Teknolgi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) universiti tersebut. – UTUSAN ONLINE