KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Seri Raja Rezza Shah menyifatkan ramai pelakon generasi baharu kini bersikap sombong dan kurang mengambil inisiatif untuk mengenali serta menimba ilmu daripada penggiat seni yang lebih berpengalaman.
Menurut Raja Rezza atau mesra disapa Shah Rezza, sikap sedemikian berbeza dengan pendekatan yang diamalkannya ketika mula berkecimpung dalam industri seni lebih empat dekad lalu.
“Bagi saya, ramai pelakon baharu sekarang sombong. Saya sendiri pernah melalui zaman sebagai pelakon baharu, tetapi saya rasa saya tidak sombong ketika itu. Pelakon baharu sekarang juga seolah-olah tidak merasakan penting untuk berkenalan dengan artis-artis lama.
“Sedangkan bagi saya, perkara itu sangat penting kerana kita boleh menimba ilmu dan belajar daripada pengalaman mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media Islamic Fashion Festival (IFF) yang meraikan ulang tahun penganjurannya yang ke-20, baru-baru ini.
Tambah Rezza, ketika berada di kemuncak populariti, dia sendiri mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pelakon veteran bagi mendalami ilmu lakonan dan memahami selok-belok industri seni.
“Ketika saya sedang popular dahulu, saya sendiri berusaha pergi ke Singapura untuk bertemu dengan pelakon-pelakon lama seperti A. Rahim, Siput Sarawak dan S. Kadarisman.
“Saya mencari mereka kerana mahu menimba ilmu dan belajar daripada pengalaman mereka. Kita perlu tahu tinggi rendahnya langit.
“Kalau tidak, kita akan merasakan diri terlalu tinggi ataupun terlalu rendah. Jadi, saya rasa sangat penting untuk kita berkenalan dengan orang yang lebih dahulu berada dalam industri,” jelasnya.
Rezza bagaimanapun tidak memetik nama mana-mana pelakon baharu yang dikatakan sombong atau mengulas perkara itu secara terperinci.
Dalam masa sama, Raja Rezza mengakui perubahan sikap dan cara bekerja dalam kalangan pelakon generasi baharu tidak dapat dipisahkan daripada peredaran zaman.
“Pelakon baharu ini seperti juga perkara lain, semuanya mengikut peredaran zaman. Apa yang mungkin tidak elok dahulu, boleh jadi elok sekarang. Begitu juga apa yang elok dahulu, mungkin tidak elok sekarang,” ujarnya.
Ditanya mengenai perkembangan kerjaya seninya setakat ini, pelakon itu menegaskan minatnya terhadap dunia lakonan masih belum pudar meskipun kini lebih banyak memberikan tumpuan kepada penganjuran acara fesyen.
“Saya masih berlakon dan tawaran pun ada. Cuma tahun ini saya hanya berlakon sebanyak tiga kali kerana mempunyai banyak urusan lain.
“Sebagai pelakon, kita memang suka berlakon. Sama seperti orang yang suka menulis, mereka akan terus menulis.
“Saya suka berada di lokasi penggambaran bersama rakan-rakan artis. Saya juga bernasib baik kerana masih berpeluang berkawan dengan pelakon-pelakon baharu,” kongsinya.











