Penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti meluahkan keterujaan untuk membuat persembahan di Ultra Kalcer Malaysia 2026, memandangkan peminat di negara ini sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya sejak dahulu.
Festival muzik yang menghimpunkan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia itu dijadual berlangsung di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini.
Kris Dayanti, 51, berkata, beliau amat menghargai peluang serta undangan daripada pihak penganjur, Neptunes Presents, untuk menjadi sebahagian daripada festival muzik berkenaan.
Menurutnya, muzik merupakan bahasa universal yang berupaya menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan negara, budaya mahupun generasi.
“Hubungan saya yang sudah terjalin dengan peminat di Malaysia sejak sekian lama juga antara sebab utama saya teruja untuk kembali beraksi di pentas tempatan.
“Jadi, apabila berpeluang untuk berkongsi pentas dalam sebuah festival muzik yang menghimpunkan pelbagai pemuzik dari dua negara serumpun pastinya saya sangat berbesar hati.
“Saya melihat kemunculan di festival muzik ini sebagai satu peluang untuk terus mengeratkan hubungan muzik dan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelantun lagu ‘Cobalah Untuk Setia’ itu menjelaskan beliau kini memberi tumpuan dari segi latihan vokal, stamina dan kesihatan untuk memberikan yang terbaik pada persembahan.
Katanya, selain aspek teknikal, pemilihan lagu, susunan muzik dan interaksi dengan penonton turut menjadi perkara yang diberi perhatian.
“Persembahan yang baik bukan sekadar menyanyi tetapi bagaimana kita menyampaikan emosi dan mencipta pengalaman yang meninggalkan kesan pada penonton.
“Saya akan memastikan pemilihan lagu juga bersesuaian dengan suasana festival yang dinamik dan meriah supaya penonton boleh sama-sama menyanyi, menikmati muzik dan berasa dekat dengan saya sepanjang persembahan,” katanya lagi.

Untuk makluman, festival Ultra Kalcer Malaysia 2026 itu turut membariskan artis Indonesia dan Malaysia seperti Hindia, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes & The Moonlight Knights, Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.











