FINAS pertimbang dana drama bersiri untuk artis veteran - Utusan Malaysia

FINAS pertimbang dana drama bersiri untuk artis veteran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersedia mempertimbangkan cadangan pelakon, AR Badul bagi mewujudkan dana khas bagi penerbitan drama bersiri yang membabitkan penggiat seni veteran.

Menurut Pengerus FINAS, Datuk Hans Isaac, cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan untuk penelitian kerana berpotensi untuk direalisasikan menerusi Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) sedia ada.

“Cadangan itu sangat baik. Apa yang saya nyatakan tadi, saya akan bawa perkara itu kepada jawatankuasa untuk berbincang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada Dana STAR yang diperuntukkan daripada bajet tahunan industri. Jadi, mungkin boleh sesuaikan dana untuk format drama bersiri,” katanya ketika ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35), pada Rabu.

Tambah Hans, pelaksanaan projek seumpama itu berpotensi menghimpunkan lebih ramai pelakon veteran dalam sebuah naskhah sekali gus memastikan bakat dan pengalaman mereka terus dimanfaatkan industri seni tanah air.

“Jika kita jadikan projek drama bersiri, mungkin 10 hingga 15 orang pelakon veteran dapat terlibat sekali gus dalam satu projek. Bila ada cadangan yang bagus, kita jangan buang, sebaliknya kita ambil dan cuba laksanakannya,” tegasnya.

Hari ini, Badul mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan peruntukan khusus bagi penerbitan drama bersiri berdurasi panjang yang memberi tumpuan kepada penglibatan pelakon veteran.

Badul berpendapat meskipun inisiatif penerbitan telefilem sedia ada memberi ruang kepada golongan tersebut untuk terus berkarya, jumlah pelakon yang dapat ditampilkan dalam sesebuah produksi masih terhad.

“Jika kita wujudkan drama bersiri yang mempunyai episod panjang, ruang itu menjadi lebih luas. Puluhan pelakon veteran dapat peluang mengikut kesesuaian jalan cerita.

“Penggiat seni veteran ini jiwanya kental dan masih mempunyai kudrat serta minat mendalam untuk beraksi di hadapan kamera.

“Kami sangat menghargai segala bentuk sokongan dan keprihatinan masyarakat, namun apa yang lebih bermakna buat warga seni adalah peluang untuk terus bekerja dan menyumbang bakat selagi diperlukan,” ujarnya.

Badul dan pelakon veteran, Norlia Ghani
diundang ke program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena FFM35 yang bakal berlangsung pada 21 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini