KUALA LUMPUR: Pempengaruh yang juga adik kepada selebriti terkenal, Neelofa iaitu Athisha Khan mengesahkan hubungan bersama Haikal sudah berakhir selepas kedua-duanya membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Perkara itu dikongsikan Athisha menerusi satu kenyataan di media sosial dengan berlatarbelakangkan video pantai dalam paparan hitam putih.
Menerusi kenyataan tersebut, Athisha menjelaskan keputusan berkenaan dibuat atas persetujuan bersama dan menegaskan bahawa mereka kini berada dalam keadaan baik.
“Haikal dan saya sudah membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan kami berdua berada dalam keadaan baik,” katanya.
Menurut Athisha, biarpun terdapat perkara yang membawa mereka kepada keputusan tersebut, Haikal tetap merupakan individu penting yang pernah menjadi sebahagian besar dalam kehidupannya.
“Walau apa pun yang membawa kami ke tahap ini, Haikal adalah seseorang yang pernah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan saya dan itu bukan sesuatu yang boleh saya ketepikan begitu sahaja,” katanya.
Tambahnya, segala kenangan serta pengalaman yang dilalui bersama sepanjang tempoh hubungan mereka akan sentiasa dihargai.
“Saya akan sentiasa menghormati tahun-tahun yang telah kami lalui bersama dan berharap penghormatan yang sama turut diberikan kepada kami berdua ketika masing-masing meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Athisha menjelaskan perkongsian berkenaan dibuat atas kehendaknya sendiri dan bukannya kerana merasakan dirinya perlu memberikan penjelasan kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, dia memilih untuk memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan timbulnya spekulasi, andaian serta tuduhan tidak berasas terhadap dirinya mahupun Haikal.
Athisha turut berharap orang ramai dapat menghormati keputusan yang telah dibuat serta memberikan ruang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dan mencari kebahagiaan dengan cara masing-masing.
Bagaimanapun, Athisha tidak mendedahkan secara terperinci punca sebenar yang mendorong mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan berasingan.











