Watak Syazani buat saya takut duduk sendirian - Amir Ahnaf - Utusan Malaysia

Watak Syazani buat saya takut duduk sendirian – Amir Ahnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amir Ahnaf mendedahkan pernah melalui fasa paling gelap dalam hidupnya selepas selesai menjalani penggambaran filem Baga: Esok Untuk Siapa, dua tahun lalu.

Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, pengalaman membawakan watak Syazani yang cukup berat memberikan kesan mendalam terhadap emosinya sehingga membuatkan dirinya takut untuk bersendirian.

“Selepas selesai penggambaran Baga, saya melalui salah satu fasa paling gelap dalam kehidupan. Proses untuk keluar daripada karakter Syazani sangat sukar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan pertama yang saya buat ketika itu adalah menghubungi adik-adik dan meminta mereka datang tinggal bersama kerana saya takut untuk duduk bersendirian.

“Apabila mereka datang, sekurang-kurangnya saya dapat melihat wajah adik-adik dan berasa lebih selamat. Bagi saya, manusia menjadi lebih kuat apabila berada bersama-sama orang lain, apatah lagi ketika sedang mendalami karakter yang begitu berat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pelakon drama Projek: High Council itu mengakui Syazani merupakan watak paling sukar pernah dibawakannya sepanjang bergelar anak seni.

Menurut Amir, karakter tersebut bukan sahaja berbeza daripada keperibadian sebenarnya, malah menuntut persediaan rapi termasuk melakukan kajian mengenai kesan penyalahgunaan dadah terhadap seseorang individu.

“Saya membuat kajian mengenai dadah dan menonton video di YouTube untuk memahami kesannya terhadap seseorang, termasuk bahasa tubuh, cara pertuturan dan pergerakan mata.

“Saya juga akan duduk bersendirian di dalam bilik, memasang kamera dan cuba melakonkan karakter tersebut.

“Selepas merakam, saya akan menonton semula lakonan itu. Kalau masih nampak diri Amir Ahnaf, maksudnya lakonan itu belum berjaya. Jadi, Amir akan ulang sehingga nampak individu yang berbeza,” jelasnya.

Bagaimanapun, Amir bersyukur kerana pengalaman membawakan watak Syazani turut membantunya mengenali semula jati diri, sekali gus menjadi persediaan penting sebelum menjayakan karakter Kahar.

“Apabila saya membawakan karakter Syazani, Amir kembali kepada akar umbi sendiri. Saya pulang ke Terengganu dan mula mengenali semula diri sendiri. Lama-kelamaan, saya rasa seperti sudah menemukan semula diri sendiri.

“Bukan sekadar menemukan diri, tetapi belajar untuk menyayangi dan menghargai diri sendiri. Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan Syazani. Baga merupakan salah satu naskhah kegemaran saya,” ujarnya.

Selain Amir, naskhah arahan Ariff Zulkarnain itu turut menampilkan Amirah Razak yang menjayakan wata sebagai Melur yang juga teraju utama filem tersebut.

Filem terbitan Indigo Films itu bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 5 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini