Viu Malaysia raih lima kemenangan AACA 2026 - Utusan Malaysia

Viu Malaysia raih lima kemenangan AACA 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Viu Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih lima kemenangan peringkat kebangsaan pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan platform penstriman itu dalam penerbitan kandungan tempatan berkualiti.

Kemenangan berkenaan melibatkan kategori lakonan, pengarahan, muzik tema dan penceritaan format pendek menerusi beberapa produksi Viu Original.

Lima kemenangan tersebut ialah Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Utama yang dimenangi Emma Maembong menerusi Seadanya Kita; Lagu Tema Terbaik menerusi lagu Berakhir Kita nyanyian Syamel dan ciptaan Omar K serta Shazriq Azeman, juga bagi drama berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut meraih pengiktirafan ialah Allahyarham Nurhanisham Muhammad yang memenangi kategori Pengarahan Terbaik (Skrip) menerusi Kelas Belakang, manakala Farihin Arnia memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu menerusi produksi sama.

Sementara itu, Cinta Ori, yang diterbitkan bersama Creative Stew dan Mi Sedaap Malaysia, memenangi kategori Drama Mikro Terbaik.

Kemenangan Allahyarham Nurhanisham Muhammad amat bermakna apabila pengiktirafan berkenaan diterima selepas pemergian beliau.

Penghormatan itu mencerminkan sumbangan dan visi kreatif Allahyarham dalam memperkukuh seni penceritaan serta industri kreatif tempatan, selain menjadi penghargaan terhadap legasi yang ditinggalkan kepada rakan sekerja, kolaborator dan penonton.

Kesemua lima pemenang berkenaan kini akan mewakili Malaysia ke peringkat seterusnya pada AACA Grand Awards yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada Disember ini.

Kejayaan itu turut memperlihatkan kepelbagaian bakat kreatif tempatan yang diketengahkan menerusi Viu Originals, merangkumi lakonan, pengarahan, muzik dan penceritaan dalam pelbagai format.

Pengiktirafan terhadap Cinta Ori dalam kategori Drama Mikro Terbaik pula menyerlahkan penerokaan Viu Malaysia terhadap format kandungan baharu, termasuk penceritaan secara vertikal 9:16 yang disesuaikan dengan corak penggunaan kandungan menerusi peranti mudah alih.

Pemenang peringkat kebangsaan AACA 2026 diumumkan pada 30 September lalu, dengan penyertaan membabitkan 18 negara dan wilayah dalam 39 kategori.

Dengan kejayaan di peringkat kebangsaan itu, kelima-lima pemenang Viu Malaysia akan membawa nama Malaysia untuk bersaing di AACA Grand Awards pada Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN