KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Zul Ariffin tidak berkecil hati apabila namanya tidak tersenarai dalam pencalonan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bagi mana-mana kategori.
Menurut Zul, pengiktirafan menerusi anugerah bukanlah matlamat utama dalam kerjayanya, sebaliknya dia lebih mengutamakan mutu lakonan serta penerimaan penonton terhadap karya yang dihasilkan.
“Bagi saya, pencalonan dan anugerah hanyalah bonus dalam kerjaya. Ia bukan perkara utama kerana apa yang lebih penting adalah memberikan persembahan terbaik untuk tontonan masyarakat.
“Kalau ada pencalonan, Alhamdulillah. Kalau tidak ada pun, Alhamdulillah. Saya tidak akan terlalu kecewa kerana sudah beberapa tahun saya mempunyai pendirian seperti itu.
“Pada usia sekarang, apabila masih ada pihak produksi yang mahu mendapatkan khidmat saya dan penonton masih menerima hasil kerja saya, itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Pemuja Syaitan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Zul mengakui dirinya tidak terlalu mengejar anugerah dan menyifatkan tindakan itu hanya akan mengundang kekecewaan sekiranya pengiktirafan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
“Sejak bila pula saya mengejar anugerah? Apa yang saya kejar adalah peningkatan mutu kerja dari semasa ke semasa. Kalau kita terlalu mengejar anugerah, itu sebenarnya resipi untuk mengecewakan diri sendiri.
“Saya akui pernah menerima anugerah sebanyak dua kali. Memang seronok dan memberikan motivasi, tetapi bukan bermakna selepas menang, lakonan kita terus sempurna.
“Pengarah tetap boleh menegur kita. Bukannya selepas menerima trofi, tiba-tiba pengarah tidak boleh memberikan teguran,” jelasnya.
Tambah Zul, dia memahami perasaan rakan-rakan pelakon yang kecewa apabila gagal memperoleh pengiktirafan, namun mengingatkan agar perkara tersebut tidak terlalu mempengaruhi pemikiran sehingga menjejaskan prestasi kerja.
“Saya faham ada pelakon yang kecewa apabila tidak menerima pencalonan atau pengiktirafan yang diharapkan. Tetapi perkara itu tidak boleh diberikan ruang terlalu besar dalam fikiran kerana akhirnya boleh mengganggu mutu kerja kita.
“Kita ini pelakon dan bukan semua perkara perlu berpusat kepada diri sendiri. Dalam sesebuah produksi, kita hanyalah sebahagian daripada pasukan yang besar,” tambahnya.
Pernah merangkul trofi FFM sebanyak dua kali menerusi edisi ke-26 dan ke-31, Zul berpendapat kejayaan tersebut juga tidak bergantung kepada pelakon semata-mata, sebaliknya merupakan hasil usaha seluruh pasukan termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir.
“Kalau boleh, saya mahu semua anugerah diberikan kepada pasukan yang bekerja di belakang kamera kerana mereka sebenarnya bekerja jauh lebih keras daripada kami.
“Kalau saya menerima anugerah, Alhamdulillah. Tetapi pengiktirafan itu tetap mahu saya dedikasikan kepada mereka yang bekerja lebih keras di belakang kamera. Bagi saya, merekalah wira sebenar dalam industri ini,” ujarnya.
Terdahulu, ketiadaan nama Zul dalam senarai pencalonan FFM35 mencuri perhatian apabila empat filem lakonannya iaitu Malam Terlarang, Tarung Unforgiven, The Furious dan Magik Rompak tercalon dalam festival berkenaan.











