Tiada istilah bermasam muka dengan S.O.G - Amir Masdi - Utusan Malaysia

Tiada istilah bermasam muka dengan S.O.G – Amir Masdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi, menafikan dakwaan wujud masalah atau perselisihan faham antara dirinya dengan kumpulan S.O.G susulan isu tidak menaiki pentas ketika kumpulan itu diumumkan sebagai pemenang pada Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Amir, dia tidak berada di atas pentas ketika S.O.G menerima pengiktirafan berkenaan kerana sedang membuat persiapan di belakang pentas bagi persembahan bersama Akim Ahmad dan Azlan The Typewriter yang dijadualkan selepas kategori berkenaan.

“Tak ada langsung isu bermasam muka dengan S.O.G. Ada dua insiden yang orang salah faham. Satu, saya tak naik pentas. Satu lagi, S.O.G terlupa nak sebut. Itu tidak mengapa.

“Pertama, saya tak naik sebab saya berada di belakang pentas pada masa itu. Ada video yang saya muat naik di Instagram, ketika mereka sedang naik ke pentas untuk pengumuman kemenangan itu, saya berada di belakang sambil memakai alat pemantau dalam telinga dan saya meraikan kemenangan itu.

“Ketika mereka berada di atas pentas, saya berada di belakang pentas sebab selepas kategori itu ialah slot persembahan saya bersama dengan  Akim dan juga Azlan.

“Jadi, sebab saya tak dapat berada di atas pentas adalah kerana saya berada di belakang pentas untuk membuat persiapan dan juga sedang bersiap untuk persembahan,” katanya.

Amir berkata demikian ketika ditemui pemberita di Sidang Media Amir Masdi AM:PM Showcase di Malaysia Petroleum Club, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, semalam.

Selain itu, Amir berkata, dia juga tidak mengambil hati apabila namanya tidak disebut ketika S.O.G meraikan kemenangan menerusi lagu Mahkota, sebaliknya memahami bahawa pengiktirafan itu lebih menjurus kepada kategori kugiran.

“Untuk perkara yang mereka terlupa itu, bagi saya secara peribadi, saya tak ada apa-apa isu ataupun masalah langsung. Sebab saya rasa ia lebih kepada kategori kugiran.

“Jadi, lebih kepada mereka melalui lagu tersebut. Namun  saya sangat gembira kerana dapat membantu untuk memberikan lebih nilai kepada kategori itu, dan mereka memang sangat layak memenanginya.

“Dan selepas sahaja S.O.G turun dari pentas, mereka mencari saya di bilik menunggu dan sebagainya. Tapi entah bagaimana kami tak dapat nak berjumpa.

“Namun, kami berhubung melalui panggilan telefon sahaja dan salah seorang anggota kumpulan,  Abang ada menghantar WhatsApp kepada saya.

“Saya cakap kepada dia, kamu semua punya sorotan dan kamu semua punya kecemerlangan, dan saya gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada itu juga melalui lagu Mahkota.

“Dan saya cakap kepada dia, terima kasih bang, adik S.O.G sebab bagi saya peluang untuk berkolaborasi bersama. Lepas itu kami hanya berhubung melalui panggilan dan WhatsApp, dan itu sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN