PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana tampil tampil meleraikan tanda tanya dalam kalangan netizen mengenai ketidakhadirannya di majlis resepsi pasangan, Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS) yang berlangsung, malam tadi.
Menurut Sarah, dia tidak dapat menghadiri majlis respesi tersebut ekoran pertembungan masa dengan komitmen untuk menjalani penggambaran sebuah telemovie pada hari yang sama.
Menerusi hantaran di Threads, pelakon itu turut memaparkan butiran perbualannya memohon maaf kepada Bella di platform Whatsapp, selain memberikan ucapan penuh makna buat penyanyi itu.
“Maaf tidak dapat datang (majlis) sebab ada penggambaran telemovie. Tahniah atas perkahwinan awak. Saya doakan kalian berdua dipenuhi rasa sayang yang tiada penghujung, kebahagian dan memori yang manis sepanjang masa.
“Semoga Allah merahmati perkahwinan kalian dengan keharmonian, persefahaman, keberkatan yang melimpah ruah dan kasih sayang terhadap antara satu sama lain semakin bertambah setiap hari.
“Semoga awak temui rasa selesa dan bahagia bersama. Kirim salam suami,” katanya menerusi sebuah pesanan mesej.
Menerusi hantaran tersebut, Bella turut memahami situasi yang dihadapi Sarah dan turut menghargai setiap doa yang dipanjatkan kepada rumah tangganya.
Pun begitu, Sarah tidak berdiam diri menegur sikap sesetengah netizen yang gemar membuat spekulasi tanpa mencari tahu perkara sebenar.
“Semua benda perlu dijelaskan, penat. Kepada yang berhati busuk silalah baca ni dan lain kali tengok Instagram Story saya ya sebelum menghukum,” ujarnya.











