Lega tiada cerita sensasi, hanya fokus kerjaya - Sophia Albarakbah - Utusan Malaysia

Lega tiada cerita sensasi, hanya fokus kerjaya – Sophia Albarakbah

SOPHIA ALBARAKBAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOPHIA Albarakbah kini mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih teliti dalam mengatur perjalanan kerjaya lakonannya, hanya memberi perhatian 100 peratus kepada bidang seni tanpa memberi ruang kepada cerita panas menyemat namanya.

Ini selepas namanya sedikit tercalar gara-gara sekitar beberapa tahun lalu dihimpit kontroversi, termasuk cerita sensasi yang mengaitkan dirinya dengan pelakon, Aliff Aziz.

Ibarat melupakan terus cerita lama, pelakon berusia 33 tahun ini bersyukur kerana pendekatan mengasingkan kerjaya dengan kehidupan peribadi terbukti dapat membersihkan namanya daripada cerita-cerita sensasi yang berlaku sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya bersyukur kerana dalam tempoh kebelakangan ini, nama saya yang beberapa tahun lalu tercalar, kini kembali pulih kerana orang lebih melihat lakonan saya berbanding cerita sensasi.

“Drama dan filem saya juga mendapat tempat dalam kalangan penonton terutamanya orang Melayu.

“Inilah yang saya mahukan, masyarakat menilai kemampuan lakonan saya yang sepatutnya saya ketengahkan. Tiada cerita sensasi atau yang tidak bermanfaat menempel nama saya.

“Saya lega dengan perkara ini, bakat saya semakin diraikan membuatkan saya bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam naskhah saya seterusnya. Saya selesa laluan karier saya seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setelah menerima satu per satu tawaran tanpa gagal, Sophia mengambil tempoh bertenang selama sebulan untuk merehatkan minda daripada kekusutan sebelum kembali meneruskan kariernya.

Katanya perkara itu perlu dan harus bagi setiap pelakon yang jadual kerjanya terlalu padat bagi mengelakkan kekusutan bertukar tekanan yang mendatangkan banyak keburukan.

“Ada masanya, pelakon juga akan menghadapi tekanan dan ‘burn out’ akibat bekerja dalam tempoh masa yang terlalu lama.

“Itu yang saya hadapi namun bezanya, sebelum menjadi parah, saya mengambil pendekatan bercuti di rumah untuk menenangkan seketika minda yang bercelaru.

“Tiada melancong ke luar negara, sekadar berdiam di rumah dan menghabiskan waktu bersama keluarga kerana saya jarang berjumpa mereka jika sibuk bekerja. Apabila berkesempatan, saya luangkan masa dengan keluarga sahaja,” ujarnya.

Sepanjang tempoh bercuti juga, sophia memanfaatkan masa terluang dengan merangka peluang perniagaan baharu bagi membolehkan dia menjana pendapatan sampingan selain kerja hakikinya.

Sophia dalam masa yang sama tidak menafikan bidang keusahawanan perlu diterokai sebagai persediaan untuk sebarang ketidaktentuan dalam dunia seni yang pemainnya bertukar ganti.

“Saya memang suka berniaga, Ramadan yang lalu saya berniaga menjual air kelapa. Jadi perniagaan bukan perkara asing buat saya

“Peluang perniagaan ini hanyalah sebagai mata pencarian sampingan. Selain berlakon, bidang perniagaan juga saya anggap sebagai penyelamat masa depan. Dan kita bakal berdepan ketidak tentuan ekonomi di masa akan datang, ada baiknya bersedia lebih awal dengan menjana pendapatan lain.

“Tapi mana tahu satu hari nanti ia mampu menjadi punca rezeki paling utama? Cuma sekarang ini saya buat kecil-kecilan sahaja. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya akan umumkan tahun depan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini