Hebat, Halim Ahmad akhirnya pandai cipta kontroversi - Utusan Malaysia

Hebat, Halim Ahmad akhirnya pandai cipta kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cik Bunga sebenarnya kurang bersetuju dengan luahan Halim Ahmad mengenai situasi yang berlaku selepas dirinya dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) baru-baru ini.

Bukan kerana Halim tidak berhak meluahkan perasaan, tetapi cara luahan itu disampaikan seolah-olah meletakkan kesalahan kepada pihak media kerana tidak memberikan perhatian yang sama kepadanya seperti yang diberikan kepada artis lain.

Sedangkan, pada hemat Cik Bunga, Halim sebenarnya tidak perlu pun mencipta kontroversi untuk kekal berada dalam radar media.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lucunya, Halim yang sebelum ini seolah-olah menganggap dirinya bukan dalam kalangan artis yang pandai mencipta kontroversi, akhirnya menerusi satu luahan berjaya membuatkan namanya diperkatakan.

Cik Bunga boleh puji satu perkara, bermakna, Halim nampaknya sudah tahu juga bagaimana hendak mencipta perhatian. Cuma, persoalannya, adakah itu cara yang mahu digunakan?

Halim sebenarnya sudah mempunyai asas yang cukup untuk menarik perhatian media. Anda mempunyai suara yang dikenali, karya yang mempunyai tempat dalam industri, pengaruh tersendiri dan pencapaian yang baru sahaja dibuktikan menerusi kemenangan di AIM25.

Jadi, tidak perlulah terlalu kerap merendah-rendahkan diri dengan menggambarkan diri sebagai penyanyi yang sendu, tidak popular atau kurang mendapat perhatian.

Jika perkara itu terlalu kerap diulang, bimbang pula ia akhirnya dilihat sebagai satu bentuk ‘humble brag’ tetapi pada masa sama mahu orang lain mengakui kepentingan dan popularitinya.

Sebagai seorang penyanyi yang sudah mempunyai nama, Halim sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri satu soalan yang lebih penting:

“Apakah yang saya tawarkan sehingga media mempunyai alasan untuk mendapatkan cerita daripada saya?” Itulah persoalan yang perlu difikirkan.

Media bukan sekadar mencari keputusan anugerah untuk dilaporkan. Jika sekadar menulis bahawa Halim memenangi Lagu Nasyid Terbaik di AIM25, perkara itu boleh ditulis dalam satu perenggan. Begitu juga apabila artis lain memenangi kategori masing-masing.

Jika semuanya hanya berkisar tentang siapa menang kategori apa, berita hiburan akhirnya menjadi terlalu rutin dan tidak mempunyai nilai cerita yang kuat.

Artis perlu mempunyai identiti, karakter dan cerita yang boleh ditawarkan kepada media. Halim sebenarnya mempunyai banyak bahan untuk dibina menjadi naratif yang lebih menarik. Malah, umum mengenali suaranya menerusi pelbagai karya, termasuk alunan zikir yang pernah mendapat jumlah tontonan yang sangat tinggi.

Namun, populariti sesebuah karya tidak semestinya secara automatik menjadikan seseorang artis sebagai subjek yang sentiasa mempunyai nilai berita.

Di situlah peranan artis untuk membina hubungan dengan media, memahami cara media bekerja dan mewujudkan rangkaian yang baik dengan pengamal media hiburan.

Dalam konteks luahan Halim, Cik Bunga juga berpendapat dia perlu lebih berhati-hati apabila menyentuh mengenai artis lain.

Apabila nama Marsha disebut dalam konteks wartawan yang lebih ramai memberikan perhatian kepadanya, ia boleh menimbulkan persepsi yang kurang manis.

Halim tidak mempunyai hak untuk menentukan siapa yang perlu datang kepadanya.Begitu juga wartawan tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan jumlah perhatian yang sama kepada setiap artis.

Setiap wartawan mempunyai sudut penulisan, sasaran pembaca dan pertimbangan editorial masing-masing.

Justeru, situasi yang berlaku tidak semestinya bermaksud Halim tidak dihargai, dipulaukan atau disisihkan oleh media.

Cik Bunga juga berpendapat, selepas luahan tersebut, wujud risiko hubungan antara Halim dengan sebahagian pengamal media menjadi sedikit janggal.

Sedangkan perkara seperti ini boleh diselesaikan dengan pendekatan yang jauh lebih mudah.

Halim boleh datang sendiri, berkenalan dengan wartawan, membina hubungan profesional dan memastikan dirinya mempunyai jaringan yang baik dalam kalangan pengamal media hiburan.

Dalam industri ini, hubungan profesional juga merupakan sebahagian daripada kerjaya. Cik Bunga cuma mahu Halim melihat perkara ini dari sudut yang berbeza. Boleh begitu?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN