KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila dijadualkan membuat persembahan pada ROUND Festival di Korea Selatan, 8 November ini.
Penyertaan itu menjadi peluang buat Hael memperkenalkan karya serta identiti muzik tempatan kepada khalayak antarabangsa, sekali gus mengukuhkan hubungan muzik antara Malaysia dengan Korea Selatan.
Hael yang terkenal dengan bakatnya sebagai penyanyi dan penulis lagu itu menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu penghormatan, selain pengalaman bermakna dalam perjalanan seninya.
“Sudah tentu saya sangat teruja dan bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di ROUND Festival di Korea. Bagi saya, ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi juga sebagai wakil yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Persiapan sedang dilakukan dari segi vokal, susunan persembahan dan pemilihan lagu supaya saya dapat memberikan persembahan terbaik kepada penonton di sana. Saya berharap dapat berkongsi muzik dan identiti seni saya dengan peminat baharu, di samping membawa pulang pengalaman berharga daripada festival ini,” katanya.
Selain persembahan di ROUND Festival, Hael turut dijadualkan membuat kemunculan menerusi Wish 107.5 Bus di Namdong Gymnasium, Incheon, Korea Selatan.
Kemunculan itu dijangka membuka lebih banyak ruang buat penyanyi berkenaan untuk memperkenalkan karya muziknya kepada audiens antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Hael kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Selesa, yang mula dilancarkan hari ini.
Dicipta bersama Iqie Hugh, lagu itu mengangkat kisah cinta tidak kesampaian, pengorbanan yang tidak dihargai serta kepedihan melepaskan insan tersayang demi kebahagiaannya bersama orang lain.
Selesa berkisar tentang seseorang yang sanggup mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan demi insan dicintai, namun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa hubungan itu tidak berakhir seperti yang diharapkan.
Lebih menyakitkan, individu berkenaan terpaksa membantu insan yang dicintainya mengecapi kebahagiaan bersama orang lain, meskipun dirinya sendiri menanggung luka.
Menurut Hael, lagu itu dekat dengan realiti kehidupan kerana tidak semua pengorbanan dalam percintaan berakhir dengan kebahagiaan seperti yang diimpikan.
“Bagi saya, Selesa ialah sebuah lagu yang sangat dekat dengan realiti kehidupan. Ada masanya, kita terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat dia bahagia, walaupun akhirnya kita sendiri yang terluka.
“Apa yang lebih menyakitkan apabila kita terpaksa membantu orang yang kita sayang untuk bahagia dengan orang lain, sedangkan kita tahu kebahagiaan itu bukan lagi milik kita.
“Saya berharap lagu ini dapat mewakili perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini dan menjadi teman kepada mereka yang sedang belajar untuk melepaskan,” katanya.
Bukan sekadar mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan, Selesa turut mengetengahkan pengorbanan yang tidak terlihat, perasaan yang terpendam serta kekuatan untuk merelakan seseorang pergi demi kebahagiaannya.
Menariknya, muzik video rasmi lagu itu menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini dengan menampilkan pelakon popular Malaysia, Anna Jobling, bersama dua pelakon sinetron Indonesia, Antoni Blanco Junior dan Mahdy Reza.
Muzik video berkenaan diarahkan Prialangga bagi menghidupkan penceritaan visual yang seiring dengan emosi serta mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu tersebut.
Gabungan pelakon dari Malaysia dan Indonesia itu memberikan dimensi tersendiri kepada muzik video Selesa, khususnya dalam menggambarkan perjalanan emosi, pengorbanan dan perasaan cinta yang tidak terluah.
Sebelum ini, Hael tampil menerusi single Garah, hasil kolaborasi bersama Mimi Fly, manakala Selesa menjadi buah tangan terbaharunya bersama Iqie Hugh buat peminat.
Lagu itu turut dipilih sebagai runut bunyi utama drama bersiri tempatan, Suamiku Anak Emak, yang menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Keith Foo dan Izzue Islam.
Pemilihan Selesa sebagai runut bunyi utama dijangka mengukuhkan penghayatan penonton terhadap konflik serta perjalanan emosi watak-watak dalam drama berkenaan.
Single Selesa boleh distrim mulai 30 Oktober 2026 menerusi semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.











