PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay mengakui tidak menyangka strategi pemasarannya memakai baju tertera tulisan ‘Pemuja Syaitan’ berjaya mencetuskan perhatian ramai.
Menurut Liyana, pendekatan tersebut pada awalnya hanya bertujuan mempromosikan filem pertama arahannya itu, namun sambutan tidak menyangka perkara itu turut mengundang salah faham orang ramai.
“Sebenarnya saya gembira apabila orang ramai perasan baju itu. Saya gembira kerana promosi tersebut berjaya mendapat perhatian ramai. Ada masanya, apabila saya memakai baju itu ke restoran, orang akan memandang saya.
“Malah, ketika keluar membeli mangga pun orang pandang. Tetapi akhirnya, orang ramai tahu bahawa baju tersebut sebenarnya berkaitan dengan filem. Saya sangat suka dengan gerakan promosi ‘Pemuja Syaitan’ itu
“Memang itu strategi pemasaran. Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka ia akan mendapat perhatian sebegitu. Pada awalnya, saya langsung tidak terfikir bahawa baju tersebut akan menjadi sesuatu yang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Liyana turut menggalakkan pembikin filem tempatan, khususnya syarikat produksi berskala kecil, supaya lebih kreatif dan berani mencuba pendekatan pemasaran di luar kebiasaan.
“Saya rasa pembikin filem lain, khususnya syarikat produksi kecil seperti saya, boleh mencuba pendekatan yang sama. Dalam pemasaran, kita perlu berani mencuba sesuatu yang baharu.
“Ada kalanya kita perlu melalui proses percubaan dan kesilapan. Sekarang, apabila pendekatan itu sudah mendapat perhatian, mungkin ia boleh dijadikan contoh oleh pembikin filem lain,” jelasnya.
Tidak melatah apabila dihentam, Liyana mengakui tidak terlalu mengambil pusing terhadap kecaman yang diterima susulan kontroversi baju berkenaan kerana lebih mengutamakan kesihatan mental.
“Saya tidak baca komen negatif. Sebab itulah saya tidak sakit hati. Dalam hidup ini, kalau kita mahu menjaga kesihatan mental, jangan terlalu membaca komen negatif.
“Kalau kita sudah nampak sesuatu komen itu tidak baik, tidak perlulah terus membacanya. Saya selalu memilih untuk memaafkan orang kerana kita tidak tahu apa yang sedang dilalui seseorang dalam kehidupannya.
“Mungkin ketika menulis komen, mereka terlalu mengikut emosi atau terpengaruh dengan pandangan orang lain. Tetapi akhirnya, mereka akan sedar perkara itu sebenarnya hanya berkaitan dengan filem,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan Liyana mengenakan T-Shirt berwarna merah dan tertera tulisan ‘Pemuja Syaitan’ telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen di media sosial.
Rata-rata netizen berpendapat seolah pengarah itu yang memuja syaitan, sebaliknya tindakan itu hanyalah sebahagian daripada promosi filem yang dibintangi Zul Ariffin, Aila Azizul, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan ramai lagi itu.











