Tidak ramai mengetahui, selain aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian, Afieq Shazwan mempunyai minat mendalam terhadap sukan permotoran serta gemar mengumpul barangan berkaitan automotif.
Menurut Afieq atau Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, minat itu sudah dipupuk sejak dia belum mampu memiliki kereta idaman sehingga sanggup mengumpul model miniatur kenderaan berkenaan.
“Saya memang minat kereta Type R. Dulu ketika belum mampu memilikinya, saya kumpul model atau mainan kereta Type R. Sekarang apabila sudah mampu memiliki kereta itu, kalau boleh memang saya mahu simpan.
“Sama juga dengan motosikal, dari dulu memang saya minat superbike. Sampai kereta kawalan jauh pun saya cari yang menyerupai kereta sendiri. Kalau terjumpa Hot Wheels atau kereta RC yang sama dengan kereta saya, memang saya beli. Memang minat saya lebih kepada automotif. Ada kereta yang saya gunakan di litar dan ada juga motosikal yang saya bawa bermain di Sepang,” katanya.
Tambah pelakon berusia 29 tahun itu, minat terhadap aktiviti litar bermula dengan motosikal sebelum dia berpeluang mencuba pengalaman sama menggunakan kereta.
“Saya bermula dengan motosikal kecil kemudian perlahan-lahan naik taraf. Ada orang pernah cadangkan kepada saya untuk asah bakat di litar. Saya fikir, betul juga. Dari situ saya mula menyertai track day.
“Dari situlah saya mula berjinak-jinak sebelum mempunyai motosikal sendiri untuk dibawa ke Sepang. Saya menyertai perhimpunan kelab Type R dan kami masuk litar dari siang sehingga malam. Ada sesi track day untuk mencatat masa.Jadi, saya dapat mencatat masa menggunakan kereta sendiri. Ia seperti pertandingan kerana masing-masing mahu mendapatkan catatan pusingan terpantas,” jelasnya.

Ditanya antara kereta dan motosikal yang memberikan kepuasan lebih besar, pelakon drama Sekali Lagi Bahagia itu tanpa ragu-ragu memilih kenderaan dua roda tersebut.
“Saya minat kereta tetapi dari segi kepuasan, saya lebih suka motosikal. Selepas merasai sendiri pengalaman membawa kedua-duanya di Sepang, motosikal bagi saya lebih ekstrem.
“Dengan kereta, kita berada di dalam kabin tetapi apabila menunggang motosikal, pengalaman itu lebih terbuka,” tambahnya.

Di sebalik keseronokan itu, Afieq tidak menafikan dunia automotif menuntut perbelanjaan yang besar, malah dia sendiri enggan mendedahkan jumlah keseluruhan yang telah dilaburkan untuk memenuhi minatnya itu.
Selain miniatur, Afieq turut mempunyai koleksi sekitar lapan hingga sembilan topi keledar yang disimpan di rumah dan kedai cuci motosikal miliknya.
“Ada topi keledar yang saya beli dengan harga lebih RM2,000 tetapi kemudian orang beritahu nilainya sudah mencecah RM12,000. Saya terkejut dan semak semula dengan orang lain, memang betul.
“Saya pernah memakainya di jalan raya dan ada orang terus bertanya sama ada saya mahu menjualnya. Pernah ada yang menawarkan sekitar RM9,500 sedangkan saya beli lebih RM2,000 sahaja.
“Pada mulanya saya tidak percaya. Tetapi selepas belajar dan bertanya kepada orang yang lebih arif, barulah saya tahu ada barangan edisi terhad yang apabila dijual semula, nilainya melambung,” kongsinya.

Selain menganggap aktiviti tersebut sebagai terapi, Afieq turut mengakui bidang tersebut juga secara tidak langsung membuka ruang buat dirinya untuk berkenalan dengan pelumba negara seperti Hafizh Syahrin.
“Walaupun panas berada di tengah-tengah litar, saya tetap rasa puas. Di situlah saya dapat mengasah kemahiran, belajar perkara baharu dan berjumpa pelumba-pelumba hebat. Mereka berkongsi petua dengan saya.
“Biasanya dalam bidang saya, banyak berjumpa selebriti. Tetapi menerusi dunia ini, saya dapat berjumpa ikon negara yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Sebagai selebriti, kita ada tekanan sendiri dan pelumba pun ada tekanan mereka. Kalau mereka tertekan, mungkin mereka pergi karaoke dan menyanyi. Saya pilih bawa motosikal atau kereta di litar. Itulah cara saya melepaskan tekanan,” ujarnya.











