PETALING JAYA: Pelakon, Linda Hashim tampil berkongsi foto wajahnya mempunyai kesan lebam pada bahagian pipi dan tepi bibir sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di TikTok, Linda turut memberi gambaran bahawa dia telah melalui situasi tersebut sejak tahun 2016.
“Seksa di dunia, ketawa di akhirat. Sejak 2016,” katanya.
Meskipun tidak memaklumkan sebarang perincian lanjut, perkongsian tersebut telah mencetuskan pelbagai spekulasi di ruangan komen.
Ada sesetengah netizen mendakwa dirinya merupakan mangsa keganasan rumah tangga malah, ada juga yang beranggapan dirinya hanya berkongsi efek solekan untuk drama terbaharunya.
“Linda Hashim ini bukan jenis mengaibkan suami dia. Itu solekan berlakon saja. Cuba skrol ke bawah, ada tengah shoot drama lelaki pukul,” komen seorang netizen.
“Kenapa muka lebam? Baru lepas berlakon ke betul-betul ni?,” kata seorang netizen.
Pada Januari lalu, Linda dikhabarkan telah memfailkan perceraian buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur terhadap suaminya, Beego atas alasan sudah tiada persefahaman.
Malah, pelakon itu juga enggan mengulas mengenai dakwaan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Sebelum ini, Linda dan Beego pernah hadir ke mahkamah yang sama pada Mei 2023 bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu tiga orang cahaya mata Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.