KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti media sosial, Ira Kazar, 30, mengakui dirinya semakin bahagia kini dan tidak tersinggung apabila turut dilihat semakin sihat ‘berisi’ selepas melalui episod perceraian sebelum ini.
Menurut Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, bahagia yang dimaksudkan bukanlah kerana hatinya dihuni seseorang kini.
Sebaliknya, kata Ira, dia hidup lebih bahagia bersama keluarga selain kini selesa meletakkan keutamaan kepada ketenangan diri sendiri.
“Alhamdulillah kehidupan semakin baik dari sebelum ini. Bahagia? Ya Allah takutnya nak cakap.
“Bahagialah di sisi keluarga dan kawan-kawan. Saya boleh cakap saya lebih baik sekarang.
“Takut nak cakap lebih-lebih risau ada orang tersinggung pula, lebih baik berahsia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem 6 Jilake baru-baru ini.
Selain itu, kongsi anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi ini, dia menghargai pujian dan penerimaan orang buat dirinya pada waktu ini.
“Ramai yang tegur (berisi) mungkin sebab kurang fikir sekarang.
“Saya tidak tersinggung pun orang cakap saya berisi sebab saya tidak mahu orang cakap saya kurus.
“Ada netizen yang suka balas komen marah-marah (orang cakap berisi) tetapi bagi saya bukan ‘body shaming’ (mengejek fizikal) untuk saya,” jelasnya.
Ditanya sama ada akan mengumumkan sebarang khabar gembira, Ira tidak memberikan jawapan, sebaliknya memberitahu kini semakin aktif dalam perniagaan atas talian.
“Berita gembira? Mungkin saya keluarkan produk, nak mula belajar bagaimana buat siaran langsung TikTok.
“Sekarang dah mula sikit-sikit tetapi berniaga di Instagram. Semua saya buat sendiri sebab ramai nasihat untuk buat sesuatu.
“Mungkin sebab sebelum ini saya tak meneroka. Bila dah berjumpa dengan orang-orang bisnes, mereka bagi semangat baharu,” ujarnya.
Terdahulu, perkahwinan Ira dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof yang dibina di Thailand pada 6 Januari 2023 tidak mampu bertahan apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, pada 5 September tahun lalu.
Nama Ira menjadi bualan hangat apabila didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Syamsul dan pelakon, Puteri Sarah Liyana sehingga pasangan tersebut bercerai.