NEW YORK: Pelakon antarabangsa, Emily Ratajkowski, menyelar tindakan penyanyi, Katy Perry dan lima selebriti lain yang menyertai lawatan ke angkasa menerusi misi penerbangan suborbital Blue Origin NS-31 anjuran Blue Origin, kelmarin.
Menurut pelakon tersebut, misi lawatan tersebut tidak mendatangkan sebarang manfaat dan perkara itu baginya sangat ‘menjijikkan’.
“Misi ke angkasa itu tiada manfaat. Anda mengatakan bahawa anda mengambil berat tentang planet bumi ini dan kononnya melakukan misi itu untuk bumi.
“Tetapi anda naik kapal angkasa yang dibina dan dibiayai oleh syarikat yang secara langsung merosakkan planet ini?
“Lihat keadaan dunia sekarang dan fikirkan berapa banyak sumber yang telah digunakan untuk menghantar wanita-wanita ini ke angkasa lepas. Untuk apa? Apa tujuan pemasaran di sebaliknya?” katanya.
Selain Emily, pelakon, Olivia Munn turut menghentam tindakan enam selebriti terbabit yang menyertai misi ke angkasa itu.
“Saya tahu mungkin ini bukan perkara yang ‘cool’ untuk dikatakan, tetapi ada begitu banyak perkara lain yang jauh lebih penting di dunia sekarang
“Apa yang kamu semua nak buat di angkasa? Apa yang kamu lakukan di sana?Apa gunanya? Adakah ia bersejarah hanya kerana kamu semua buat satu lawatan?
“Saya rasa ini agak mengarut. Penerokaan angkasa sebelum ini bertujuan untuk menambah pengetahuan dan membantu umat manusia.
“Apa yang mereka akan lakukan di sana yang betul-betul memberi manfaat kepada kita di sini?”tanya Olivia.
Olivia juga menekankan bahawa perjalanan ke angkasa memerlukan kos yang sangat tinggi dan rakyat Amerika marhaen masih ramai yang hidup susah.
Kelmarin, misi lawatan ke angkasa melibatkan enam selebriti terkemuka antarabangsa itu turut mendapat liputan meluas dunia.
Lawatan itu menyaksikan Katy, Lauren Sánchez, Gayle King, Amanda Nguyen, Aisha Bowe dan Kerianne Flynn menaiki roket New Shepherd dalam misi penerbangan suborbital Blue Origin NS-31 anjuran Blue Origin.
Keseluruhan misi berlangsung selama 10 minit dan 21 saat.