KUALA LUMPUR : Tindakan pelakon, Datin Rebecca Nur Al-Islam kerap memuat naik gambar bersama kakak ipar, Rozita Ibrahim yang baharu bergelar isteri kepada abangnya bagaimanapun telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan keluarga usahawan tersebut.
Perkara itu diluahkan oleh menantu Rozita iaitu Datin Nur Shahida Mohd Rashid yang kemudiannya mendapat respons ‘panas’ daripada Rebecca.
Menerusi hantaran video di Instagram, pelakon itu mengakui tiada niat untuk mengeruhkan keadaan, namun Rebecca mahu menjelaskan situasi di pihaknya demi membersihkan nama.
“Saya rasa nama tercalar disebabkan mulut makcik (Shahida) inilah. Sebagai seorang adik, kami amat berbangga untuk menerima kedatangan orang baru dalam keluarga. Jadi saya rasa tak jadi masalah untuk kita kongsikan gambar atau apa sahaja yang mungkin makcik ini tak puas hatilah.
“Makcik cakap tentang saya mencari publisiti murahan, gila publisiti. Hello makcik saya nak tanya dengan makcik, saya dari umur 17, 18 tahun orang dah kenal. Saya dikenali atas kaki saya sendiri.
“Saya tak cari publisiti murahan, itu adalah abang yang menjaga saya daripada kecil. Kita bukan keluarga senang, biasa biasa sahaja.
“Tak macam dia yang kahwin dengan orang senang, jadi mungkin mudah untuk dia bercakap,” ujarnya.
Selain itu, Rebecca juga turut membidas kasar kenyataan Shahida yang mendakwa dia tiada kaitan dengan Rozita sedangkan dirinya merupakan adik ipar kepada usahawan terkemuka itu.
“Dia cakap saya ini tiada kena mengena. Adakah makcik ini bodoh atau pun bercakap tidak menggunakan akal? Saya rasa makcik ini ada bodoh jugalah sebenarnya.
“Saya bukan posting sesuatu gambar tanpa minta izin keluarga atau pun sesuka hati saya. Yang saya tahu, saya serta keluarga sangat sangat bangga, mak saya bangga terima menantu, saya bangga terima kakak ipar sebabnya abang yang kahwin ini adalah abang pertama kami.
“Kami adik beradik sangat rapat antara satu sama lain dan penyayang, okey makcik? Saya tak tahu keluarga makcik macam mana tapi kami seperti itu,”katanya.
Tidak cuma itu, Rebecca juga menolak andaian bahawa dia merupakan seorang yang gila glamor dengan cuba menumpang populariti Rozita dengan cara kerap memuat naik gambarnya di media sosial.
“Saya tak pernah keluarkan kenyataan yang merepek-repek, saya hanya muat naik gambar keluarga, apa salahnya? Apa masalah makcik?
“Makcik kata saya gila glamour, apa benda yang saya mencari publisiti murahnnya? Saya rasa makcik ni bodoh sebab apa, makcik kata saya tak ada kena mengena, padahal makcik yang tak ada kena mengena sebab makcik hanya menantu, saya pula adik beradik. Faham makcik?,” luahnya lagi.
Terdahulu, timbul dakwaan bahawa Rozita sudah berkahwin dengan abang kepada pelakon Rebecca Nur AI Islam.
Lebih menguatkan dakwaan apabila Rebecca menyapa Rozita dengan panggilan ‘kakak iparku’ dalam satu sesi siaran langsung.
Tidak hanya itu, turut tular video memperlihatkan Rozita berpimpin tangan dengan seorang lelaki berkumis didakwa suami baharunya yang juga abang kepada Rebecca.
Setelah pelbagai andain timbul, anak kepada Rozita iaitu Ain mengesahkan ibunya telah berkahwin lain namun enggan mendedahkan punca perpisahan usahawan itu dengan suami terdahulu.