Isteri larang saya baca mantera itu di dalam rumah - Pekin Ibrahim - Utusan Malaysia

Isteri larang saya baca mantera itu di dalam rumah – Pekin Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Pekin Ibrahim, 43, mendedahkan, isterinya, Mona Allen, telah melarang tindakannya untuk menghafal sepotong mantera ketika berada di dalam rumah kerana bimbang ia memberi kesan kepada keluarga mereka.

Menurut Pekin, tujuan dia menghafal mantera itu adalah sebagai sebahagian latihan dialog untuk menjayakan filem berjudul Kulit Wayang terbitan Mico Studio (M) Sdn Bhd.

“Disebabkan saya terbabit membintangi filem tersebut, saya perlu menghafal segala dialog termasuk mantera yang ada dalam skrip filem itu.

“Difahamkan mantera yang ditulis di dalam skrip itu merupakan mantera sebenar yang mana bacaan itu adalah apa yang dilontarkan tok dalang sebelum melakukan persembahan wayang kulit.

“Jadi, apabila Mona dengar saya sedang berlatih, dia tegur dan larang saya buat di rumah. Dia bimbang ia beri kesan kepada keluarga terutama kami pun ada anak kecil di rumah,”katanya.

Pekin berkata demikian semasa ditemui di sidang media filem Kulit Wayang di sini,kelmarin.

Selain itu, kata Pekin, dia juga berdepan dengan cabaran menghafal mantera itu berikutan ia menggunakan bahasa sanskrit.

Jelas pelakon ini, dia terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk memudahkannya mengingati bacaan mantera tersebut termasuk menggunakan kaedah merakam suara sendiri.

“Sepanjang tempoh penggambaran, memang tiada pengalaman mistik sangat tetapi apabila melibatkan mantera, bulu roma akan meremang.

“Nak hafal mantera itu memang susah sebab mereka guna bahasa sanskrit. Selalunya saya hafal dengan rekod suara sendiri, kemudian dengar semula dalam kereta sambil memandu.

“Saya akan hafal dulu dan cari ‘feel’ itu. Kalau nak cari makna memang sukar nak faham, jadi hafal sahajalah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Pekin turut memuji kesungguhan bintang utama Kulit Wayang iaitu Fattah Amin menguasai dialek Kelantan.

“Filem ini menyaksikan Fattah berbeza berbanding lakonannya yang lain. Saya bangga lihat komitmen dan berjaya buang stigma orang mengatakan dia pelakon kayu dulu.

“Dia memang lain dan berjaya meletakkan diri sebaris dengan pelakon gred A lain,” katanya.

Selain Fattah dan Pekin, Kulit Wayang yang mengangkat seni budaya wayang kulit itu turut dibintangi Amanda Anda dan dua pelakon Indonesia iaitu Jenna Kamaratih serta Reynavenka Deyandra.

Kulit Wayang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya