Insomniacks luah emosi remaja dan isu insomnia dalam EP terbaharu - Utusan Malaysia

Insomniacks luah emosi remaja dan isu insomnia dalam EP terbaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kumpulan kegemaran Gen Z, Insomniacks kini tampil dengan satu lagi pencapaian membanggakan menerusi pelancaran EP Inggeris sulung mereka berjudul Awake & Dreaming.

Dikenali dengan lagu-lagu yang menyentuh hati dan penuh emosi, Iqie, Iskandar, dan Dan, kini bersedia menunjukkan sisi baharu mereka menerusi karya pop rock yang lebih matang dan segar.

Menampilkan lima lagu pop rock termasuk Anti-hero, Overdrive (feat. KillaDriz), dan Why Don’t You Cry, EP ini mencerminkan pengalaman peribadi mereka sejak remaja serta perjuangan dengan isu insomnia.

“Kami dah lama simpan hasrat untuk hasilkan lagu dalam Bahasa Inggeris sejak penubuhan band ini. EP ini umpama diari remaja kami – sarat dengan perasaan dan pengalaman,” jelas Iqie.

Dihasilkan sepenuhnya oleh Iqie, Iskandar dan Dan, karya ini turut mendapat sentuhan JOEK sebagai penerbit dan Joseph Chua selaku penyusun muzik.

“Insomnia buat kami keliru antara realiti dan mimpi. Lagu-lagu ini lahir daripada kekeliruan dan keheningan itu. Walaupun sebahagiannya ditulis hampir sedekad lalu, kini tiba masa terbaik untuk menghidupkannya semula dengan nafas moden,” jelas Dan.

Menurut Iskandar, mereka mahu peminat melihat sisi lain Insomniacks dan berharap bahawa peminat akan terhibur dengan kelainan ini.

Dengan penambahan karya Inggeris dalam katalog mereka, impian untuk mengadakan konsert berskala besar kini semakin hampir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN