Fattah Amin tak sangka Bidaah tular di Indonesia - Utusan Malaysia

Fattah Amin tak sangka Bidaah tular di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon sensasi, Fattah Amin, 35,mengakui berbangga dan gembira dengan kejayaan drama Bidaah terbitan Viu yang kini tular sehingga ke negara jiran, Indonesia.

Menurut Fattah, pada awalnya dia bersama pelakon dan seluruh tenaga pasukan produksi menyangka karya tersebut hanya mencipta kontroversi di dalam negara sahaja berikutan menyedari terdapat beberapa isu sensitif yang menjadi intipati naskhah itu.

“Memang tak sangka sebenarnya drama ini akan viral malah tiada siapa dalam kalangan pelakon atau kru produksi menjangkakan apa sedang berlaku sekarang.

“Apabila drama ini disiarkan, ingatkan akan ada isu sebab terdapat babak-babak kontroversi.

“Tapi tak sangka pula viral drama ini dan diterima baik. Malah mendapat pujian kerana mesej disampaikan cukup baik,” katanya.

Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media filem Kulit Wayang yang diadakan di The Landing @ KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, Fattah turut meluahkan rasa syukur kerana Bidaah diterima dengan baik oleh penonton di Indonesia dan menganggap itu adalah rezeki diberikan Allah SWT buat semua yang terlibat dalam drama berkenaan.

Tidak cuma itu, Fattah juga seronok dapat bekerja dengan pelakon veteran Faizal Hussein yang baginya tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan pelapis baharu sepertinya.

“Alhamdulillah, bukan senang drama atau pelakon kita hendak dikenali di Indonesia. Bagi saya itu rezeki buat semua yang terlibat.

“Faizal memang terbaik, bekerja dengannya sangat mudah malah dia banyak berkongsi ilmu dengan saya,” katanya.

Tidak hanya Faizal, Fattah memberitahu dia juga terkena tempias apabila menerima banyak komen serta mesej peminat di Indonesia.

Malah ramai bertanya kepadanya sekiranya Bidaah akan muncul dengan musim kedua.

“Akaun TikTok saya ramai betul penonton dari Indonesia meninggalkan komen memberitahu mereka sukakan drama tersebut.

“Banyak juga bertanya bila musim kedua
Bidaah akan keluar. Saya tak boleh nak jawab sebab saya pelakon sahaja,” katanya.

Selain Faizal dan Fattah, Bidaah turut menampilkan barisan pelakon seperti Fazlina Ahmad Daud, Riena Diana, Marissa Yasmin, Fathia Latiff dan Vanidah Imran.

Kesemua 15 episod Bidaah arahan Fazli Yahya itu kini boleh ditonton menerusi aplikasi penstriman Viu.

Dalam perkembangan lain, Fattah bakal muncul dengan filem terbaharu lakonannya iaitu Kulit Wayang yang akan ditayangkan di pawagam pada 1 Mei ini.

Menerusi filem arahan Dain Said itu, Fattah bergandingan dengan barisan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Jenna Kamaratih dan
Raynavenzka Deyandra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya