KUALA LUMPUR: Muncul dengan kontroversi rumah tangga termasuk isu bakal berkahwin dengan seorang wanita lain tidak lama lagi, pelakon, Azlan Komeng, menegaskan dia tetap dengan pendirian untuk tidak melepaskan isteri pertamanya, Nur Nilam Ortiz.
Menurut Azlan, tindakan itu dilakukannya kerana mempunyai sebab tersendiri selain enggan mendedahkannya buat masa ini.
“Macam yang semua sedia maklum, isteri saya sudah pun memfailkan fasakh dan saya hormati apa sahaja tindakan yang dia buat.
“Apa yang saya nak beritahu adalah, saya tidak akan melepaskan isteri saya kerana saya ada alasan yang tersendiri.
“Belum masanya lagi untuk saya kongsikan dengan anda semua,”katanya dalam satu hantaran video di Tik Tok.
Menurut Azlan, dia kini sedang mengusahakan sesuatu namun tidak dapat menjelaskan perkara tersebut secara terperinci buat masa ini.
“Saya mohon kesabaran daripada pihak-pihak yang tertentu, untuk beri ruang dan masa kerana ada sesuatu yang sedang saya usahakan.
“Bila sampai waktu yang tepat akan saya kongsikan, insya-Allah,”katanya.
Dalam masa yang sama, aktor berusia 48 tahun tersebut mengakui masih menyayangi Nilam dan meminta isterinya untuk bersabar.
“Kepada isteri saya, saya harap awak boleh bersabar dan beri sedikit masa untuk saya selesaikan apa yang perlu dibuat.
“Macam mana pun saya tetap dan akan terus sayangkan awak. Awak adalah sesuatu yang sangat penting dalam hidup saya.
“Insya-Allah saya akan bertanggungjawab dan melindungi awak semampu yang mungkin, akan ada jalan yang terbaik,”katanya.
Terdahulu, kehadiran Nilam ke Mahkamah Rendah Syariah Ulu Langat pada Rabu telah menimbulkan pelbagai tanda tanya berkenaan status rumah tangganya.
Sebelum itu, Azlan didakwa bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita.
Tidak cuma itu, Nilam juga sebelum ini ada berkongsi momen ketika Azlan sedang berbual di telefon dengan seorang individu dipercayai bakal madunya.
Azlan kemudian menafikan dakwaan bahawa isu tersebut sengaja dilakukan demi meraih perhatian warganet.
Untuk rekod Azlan dan Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022.