Kuala Lumpur: Penyanyi yang meningkat naik, Zubir Khan terus mencipta sejarah apabila menerima Anugerah Ikon Perpaduan baru-baru ini.
Anak kelahiran Selangor itu tidak pernah menyangka untuk mendapat pengiktirafan berprestij tersebut memandangkan karier seninya yang masih setahun jagung.
“Anugerah Ikon Perpaduan tu sebenarnya adalah satu penghargaan yang saya tak pernah jangka untuk terima sama sekali,”
“Saya rasa anugerah tersebut diperolehi disebabkan lagu Yennode Macha, di mana lagu itu digunakan pada hari kebangsaan,” katanya.
Zubir atau nama lengkapnya, Muhammad Zubir Muhammad Ali, berkata lagu yang menjadi fenomena itu digunakan pada Hari Kebangsaan tahun lalu di Dataran Merdeka, sekaligus dilihat berjaya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dan agama.
“Saya pula seorang budak Melayu yang pandai berbahasa Tamil, bergaul dengan pelbagai kaum, mungkin sebab itu mereka rasa saya layak terima anugerah tersebut,” katanya.
Zubir, 25, dilihat bukan sahaja berbakat dalam nyanyian, malah mengakui dia fasih berbahasa Tamil seterusnya menjadi salah satu keunikkan pada dirinya yang diterima baik oleh masyarakat India.
Ditanya mengenai cabaran apabila memegang gelaran Ikon Perpaduan, Zubir mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk digalas, namun dia bertekad untuk terus membawa mesej perpaduan melalui karya seninya selepas ini.
“Rasa berat, bukan senang sebenarnya sebab anugerah ini bukan seperti terima sijil selepas tamat belajar, tetapi satu pengiktirafan yang terpilih,”
“Saya sedar tanggungjawab besar yang perlu digalas selepas ini, malah saya harus mendekati masyarakat pelbagai kaum untuk terus mainkan peranan dalam memupuk semangat majmuk,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran EP: Janji Raya oleh Iman Troye di pusat membeli belah Suria KLCC, semalam.
Penyanyi lagu Oh My Kadhale itu turut berkolaborasi bersama Iman Troye dan artis-naungan XO House seperti Dalia Farhana, Naim Daniel dan Alya Mardien menerusi lagu ‘Janji Happy Hari Raya’ yang bakal menemui pendengar pada hari raya ini.