KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Noki, 31, mengakui rata-rata wanita dari Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu memiliki tempat yang istimewa di hatinya.
Justeru, kata Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, dia tidak menolak andai Allah mengurniakan jodoh kalangan wanita kelahiran Pantai Timur buat dirinya suatu hari nanti.
“Sebelum ini, ada orang pernah tanya, saya suka perempuan dari negeri mana? Kalau diberi pilihan, saya suka wanita Kelantan dan Terengganu.
“Saya tengok wanita bertudung, berwajah campuran kebanyakannya dari Pantai Timur, cantik dan manis,” katanya ketika ditemui majlis ramah mesra dan berbuka puasa Stars Powerhouse Entertainment di sebuah hotel, di sini, semalam.
Meskipun mengakui suka wanita Kelantan dan Terengganu, anggota kumpulan K-Clique ini bagaimanapun menafikan kini sudah mempunyai kekasih hati yang berasal dari Pantai Timur.
“Tak adalah. Cuma saya teruja juga mahu merasai pengalaman berhari raya di Kelantan dan Terengganu sebab tahun ini, ada kawan saya ajak beraya di sana memandangkan saya tak balik Sabah.
“Saya pun tak pernah beraya di sana, jadi nak juga merasa macam mana beraya di negeri orang. Mana tahu, kalau terjumpa jodoh di sana, saya pun tidak menolak,”selorohnya.
Dalam pada itu, kata pelakon filem Soloz: Game Of Life ini, dia juga sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan bergelar suami sesuai dengan usianya kini.
Bagaimanapun, memandangkan jodohnya belum sampai, Noki reda menanti selain mengharapkan doa-doa yang baik daripada semua pihak.
“Saya dah bersedia sahaja nak kahwin, cuma jodoh belum sampai. Keluarga pula tak kisah saya pilih orang mana, asalkan bertudung dan menutup aurat.
“Bukan cakap yang tak bertudung itu kita tidak boleh ubah, tetapi lebih senang jika wanita yang bertudung itu lagi kerana dia sudah faham agama. Bagi saya, wanita bertudung mungkin lebih tahu batasnya bagaimana dan sebagainya.
“Saya pun mahu seorang wanita yang boleh membawa ke jalan yang baik sebab saya tahu diri ini pun tak kuat, senang betul terpengaruh dengan orang,”katanya.