SHAH ALAM: Penyanyi dan pengacara, Izzue Islam melahirkan rasa syukur kerana berpeluang merasai pengalaman berpuasa di Madinah ketika mengerjakan umrah bersama isteri, Awin Nurin, baru-baru ini.
Menurut Izzue, meskipun hanya sehari, momen itu merupakan satu pengalaman yang sangat seronok dan tidak akan dilupakan sepanjang hidup.
“Saya bersyukur dapat merasakan pengalaman berpuasa di Madinah walaupun hanya sehari.
Awalnya risau tak dapat berpuasa di sana, sebab penerbangan pulang ke Malaysia adalah 2 Mac, tetapi di sana mula berpuasa 1 Mac.
“Sudah lama simpan hasrat nak sambut Ramadan di sana, Alhamdulillah tercapai juga hasrat saya. Punyalah seronok saya dan isteri,”katanya.
Tambah Izzue, dia juga pertama kali merasa juadah berasaskan unta ketika berbuka puasa di sana.
“Dapatlah rasa suasana berpuasa dan berbuka di sana. Kami berbuka dengan daging, hati dan paru unta.
“Suasana di sana sangat lain macam, semua yang di sana berlumba-lumba nak buat ibadah dan kejar pahala, lagi-lagi di bulan Ramadan,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Izzue baru sahaja melancarkan lagu raya duet bersama Firdaus Rahmat berjudul OSHR!
Lagu tersebut sudah dilancarkan di seluruh platform digital bermula 21 Mac lalu, manakala muzik video (MV) akan dimuat naik pada 28 Mac ini.