KUALA LUMPUR : Tidak melatah,penyanyi, Mimi Fly, mengambil pendekatan untuk membuat sedikit gubahan semula terhadap video muzik lagu raya berjudul Serumpun setelah menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, segala kritikan dan teguran diambil daripada sudut positif dan berikutan itu perubahan video muzik itu dibuat.
“Sejak mv itu dilancarkan, saya terima banyak respons daripada peminat-peminat dan juga pendengar muzik Malaysia. Ada yang baik, ada juga yang bimbang jika pendekatan seni saya ditafsir berlainan dan menyimpang dari niat sebenar.
“Saya juga dapat teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah dan nasihat-nasihat lain. Saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan jadi telah menurunkan mv asal di YouTube.
“Kru mv itu juga telah melakukan gubahan semula mv itu dan melancarkan semula mv yang sama pada 11 pagi tadi,”katanya.
Mimi berkata demikian dalam satu hantaran video di Instagramnya hari ini.
Selain itu, tambah Mimi, dia mengakui sebagai orang Melayu, tiada niat di hatinya untuk menghina budaya dan agama Islam.
“Sebagai anak seni, saya sentiasa mahu memastikan karya saya diterima, ada kualiti dan memberi makna yang mendalam. Seperti manusia lain, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Justeru saya ambil maklum segala teguran dan nasihat. Terima kasih kerana beri teguran dan kritikan yang baik untuk saya.
“Terus-terang, saya sangat bersyukur kerana dapat memohon maaf sebelum hari raya ini,”katanya.
Sebelum ini, mv berjudul Serumpun yang dihasilkan oleh Mimi memaparkan penyanyi itu berpenampilan seakan berkemban.
Perkara itu kemudiannya mengundang kritikan netizen Muslim yang berpandangan pakaian itu jelas bertentangan nilai Islam dan budaya Melayu sebenar.