KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti usahawan, Ifa Raziah, meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila dituduh netizen sengaja berpura-pura pengsan di acara StarVendors KL Mega Raya Fest 2025, yang berlangsung beberapa hari lalu, di KL Base, di ibu negara.
Menurut Ifa, tuduhan itu telah menyinggung perasaannya terutama apabila niatnya yang hanya ingin memberi yang terbaik dalam acara itu telah disalah anggap oleh segelintir warganet.
“Bila saya nak menuju ke pentas utama untuk ditemu bual, sebelum itu sudah rasa mual-mual dan nak muntah. Bukan saya buat-buat, apa yang saya makan dan minum semuanya keluar (muntah).
“Kepala saya juga pening, tak boleh nak berdiri tegak. Nasiblah ada pengawal peribadi kiri-kanan yang pegang saya. Saya ada minta minyak angin sebab pening dan minta rakan media untuk tunggu sekejap.
“Kemudian saya sudah tak ingat apa-apa, sudah ‘padam’. Cuma rasa ketika itu badan saya seperti digoncang-goncang ibarat gempa bumi.
“Nak bercakap pun tak boleh tak tahu (ketika itu) saya ini hidup atau mati. Bila saya sedar, berada di hospital dan doktor tepuk bahu saya bertanya nama.
“Bila buka mata secara perlahan-lahan, saya bertanya di mana suami dan anak-anak,” katanya, berkongsi mengenai momen yang menjadi sorotan ramai itu,”katanya.
Jelas Ifa lagi, dia juga terkilan kerana wujud segelintir pihak yang tergamak mendoakan kematiannya gara-gara insiden di festival berkenaan.
Kata Ifa, perkara itu amat mengecewakannya kerana di saat umat Islam sepatutnya saling mendoakan kebaikan, masih ada yang memilih untuk menyebarkan kebencian.
Bagaimanapun, Ifa bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan terdekat yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan sokongan.
“Ada yang saya baca, netizen doakan agar saya ini mati cepat. Saya terfikir apa salah saya atau apa hutang saya pada mereka hingga sanggup mendoakan kematian orang lain?
“Kita di bulan Ramadan dan sesama Islam, kenapa nak mendoakan saya begitu? Apa pun, saya positif. Cuma bila ada komen yang sedemikian, saya jadi sedihlah. Kenapa ada yang begini kejam.
“Saya sampai menangis dan peluk suami dan dia pujuk saya untuk lebih kuar, terus berdoa dan banyakkan bersabar,” katanya lagi.
Menurut Ifa, selama ini dia tidak pernah mempunyai masalah kesihatan terutama darah tinggi selain mengakui ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan kejadian pengsan.
“Ketika itu, bacaan tekanan darah saya 177. Saya tiada darah tinggi, cuma darah saya rendah. Ini pertama kali saya pengsan dalam hidup dan saya tak salahkan netizen yang komen saya pura-pura pengsan.
“Malah suami sendiri pun tak percaya sehinggalah dia berkongsikan balik momen saya waktu awal-awal alami insiden itu. Barulah dia betul-betul sedar yang saya ketika itu sakit, pengsan.
“Iyalah, kita ni umur semakin meningkat. Kita ingat diri ni masih lagi muda. ‘Enjin’ pun sudah berkarat.
“Jadi disebabkan inilah ada sesuatu yang saya belajar. Walau sekuat mana kita kerja mencari rezeki sekalipun, waktu rehat itu perlu ada,”ujarnya.
Dalam pada itu, meski dilanda pelbagai kecaman, Ifa menegaskan dia tidak akan patah semangat dan akan terus bangkit meneruskan perjuangan dalam industri seni dan perniagaan.
“Saya manusia yang jarang untuk patah semangat. Bagi saya, ada masa kita berjaya dan sebaliknya. Tak ada semua yang kita lakukan akan dapat hasil yang diharap-harapkan.
“Kita kena terus belajar dan suami turut ingatkan saya untuk sentiasa reda dan berlapang dada. Bila kita reda, kita akan rasa lebih tenang.
“Syukur, sebab saya ada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Ada di sisi walau dalam apa keadaan sekalipun, terima kasih,” katanya.
Ahad lalu, penyanyi lagu Gemerincing Rindu yang kini kian pulih, dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara, dipercayai akibat tekanan darah rendah dan keletihan melampau.
Suami Ifa iaitu Mohd Yani Abdul Rahman kemudiannya memaklumkan isterinya itu berada dalam keadaan stabil namun masih perlu mendapatkan pemantauan susulan doktor.