SINGAPURA: Pelakon, Risteena,36, kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu khalwat yang melibatkan adiknya, Ruhainies dengan penyanyi, Aliff Aziz.
Menurut Risteena, dia sedar apa sahaja percakapan yang keluar akan mengundang kecaman daripada warganet.
Bagaimanapun, Risteena menegaskan dia tidak menegakkan benang yang basah kerana perbuatan yang salah tetap salah.
“Saya tak nak komen banyak sebab apa yang keluar daripada mulut saya hanya akan dikecam dan tanggapan negatif.
“Tapi sebenarnya hanya yang tahu sahaja tahu apa yang berlaku. Tetapi salah tetap salah. Apa yang penting semuanya sudah selesai,”katanya.
Risteena berkongsi perkara itu ketika ditemui pada karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura.
Selain Risteena yang membuka booth menjual kek coklat, antara barisan selebriti lain yang turut memeriahkan Celebfest yang berlangsung selama tiga hari adalah Fattah Amin, Nora Danish, Puteri Sarah Liyana, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Sophia Albarakbah, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Hisyam Hamid, Datuk Fizz Fairuz, Nabila Razali, Aizat Saha dan ramai lagi.
Selain itu, isteri kepada pelakon, Isa Khan ini turut menjelaskan bahawa adiknya itu lebih selesa untuk tidak membaca komen-komen negatif di media sosial.
“Ruhainies beritahu dia tidak baca komen. Tak tahu pula kalau dia sedih ke apa, tapi setakat ini tengok dia okey sahaja,”ujarnya.
Dalam pada itu, Risteena juga memberitahu dia dan keluarga bakal menunaikan umrah dan beraya di sana sama seperti tahun lalu.
“Kami juga ada rancang nak tunai umrah dan beraya di sana,”katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku bersalah dan dikenakan bayaran denda sebanyak RM3,000 setiap seorang.
Pada 20 Jun tahun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat di sebuah kondominium.
Media sebelum ini melaporkan seorang selebriti berstatus suami orang dan pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Sumber dilaporkan berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hasil maklumat awam.
Pasangan itu dicekup di kediaman pelakon wanita terbabit.