KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, meluahkan rasa syukur berikutan kehidupannya kini semakin baik dan bahagia setelah melalui episod hitam sekitar tahun lepas.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Bella berkata, dia masih ingat bagaimana dia membawa diri ke Tanah Suci Mekah dan mendoakan agar Allah memberikannya petunjuk dan kebaikan dalam kehidupannya.
“Terima kasih atas jemputan ke rumah Mu Ya Allah, Makkah Al-Mukarrahmah bagi hambaMu yang penuh kekurangan ini. Syukur Alhamdulillah selesai umrah, saya dapat bawa adik iaitu Didie Astillah bersama. Alhamdulillah.
“Tahun lepas, saya datang dengan tangisan kesedihan sehingga sakit dada ketika mengadu pada-Nya. Dan kali ini juga menangis di depan Kaabah tapi kerana rasa syukur dan ingin berterima kasih kepada Allah SWT kerana telah memberikan apa yang saya doa waktu kali terakhir saya datang.
“Alhamdulillah, betapa Allah Maha Baik kepada hamba-Nya,”katanya.
Selain itu, tulis Bella, dia juga berkesempatan mendoakan semua pihak yang mengenali mahupun tidak atas segala kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan buat dirinya.
“Kebelakangan ini, saya terima banyak sangat kasih sayang dan sokongan yang luar biasa dari semua, Masya-Allah. Tidak pernah terfikir bahawa saya akan menerima begitu banyak kasih sayang dan sokongan, Alhamdulillah.
“Terima kasih semua,”katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Tapi Bukan Denganmu in turut menitip nasihat buat mana-mana individu yang sedang bersedih supaya sentiasa berlapang dada dengan dugaan atau ujian yang menimpa.
“Kepada yang sedang bersedih atau down, mulai untuk belajar menerima apa jua keadaan dengan hati yang lapang. Kerana ini yang kita panggil berdamai dengan takdir.
“Sama ada kita nak terima ataupun tolak, semuanya akan tetap berlaku tapi ia juga pasti berlalu. Ingat bahawa takdir tidak pernah bertanya tentang bagaimana penerimaan kita, perasaan kita, sama ada kita suka, tak suka atau bahagia.
“Takdir juga tidak ambil tahu tentang proses ‘healing’ kita, tapi disitulah letaknya kekuatan. Ketika kita cuba jadi lebih kuat, lebih tenang dan lebih bersedia menghadapi apapun yang datang. Semoga apa yang saya doa kali ini juga termakbul, Insya-Allah,”katanya.
Tanggal 23 Mac lalu, Bella berangkat ke Tanah Suci bersama adiknya Didie Astillah bagi menunaikan umrah.
Turut menemani Bella ke lapangan terbang ialah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Kebelakangan ini, Bella dan Syed Saddiq dilihat banyak meluangkan masa bersama selepas menjadi duta jenama pakaian PrimaValet, malah, mereka dilapor menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah, Januari lalu.
Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu nyanyian Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu.
Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz pada 9 September 2016. Namun, mereka dilapor bercerai pada 13 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.