KUALA LUMPUR: “Saya hilang pendengaran sebelah kanan sebab kemalangan dua tahun lalu,”
Demikian kenyataan penyanyi Iman Troye apabila doktor memberitahu pendengaran sebelah kanannya hilang lebih kurang 15 peratus dalam tempoh dua tahun.
Iman atau Siti Nur Alyssa Sahabuddin, 23, berkata dia juga baru mengetahui tentang masalah yang dihadapinya sekarang ini.
“Doktor risau keadaan saya, tak sedar bagaimana boleh hilang sehingga 10 ke 15 peratus, sebab itulah bila saya dengar earphone bunyinya agak kurang jelas,”
“Kalau saya stress atau rasa terganggu telinga saya akan rasa berdesing, dan ia semakin kerap sejak kebelakangan ini, sehingga buat saya rasa terganggu,” katanya.
Jelas Iman kini dia hanya bergantung kepada rawatan yang dilakukan dua kali setahun bagi mengurangi masalah yang dihadapinya itu.
“Doktor beritahu kalau hilang pendengaran ini tak ada cure, hanya boleh buat rawatan untuk kurangkan sahaja daripada menjadi semakin teruk,” ujarnya.
Bagaimanpun, masalah pendengaran yang dialaminya masih boleh dikawal namun memerlukan penjagaan yang rapi.
Semalam, gadis bertubuh genit itu melancarkan mini album terbaharu berjudul ‘EP: Janji Raya’ yang bertempat di pusat membeli belah Suria KLCC.
Gabungan elemen nostalgia, moden, dan sentuhan peribadi menjadikan karya ini sebagai sebuah naskah istimewa dalam menyemarakkan suasana sambutan hari raya.
‘EP: Janji Happy’ mengandungi lima buah lagu iaitu – Raya Ya Ya, Salam Salam Lebaran, Raya Kan, Janji Happy Hari Raya, dan Selendang Ibunda.