KUALA LUMPUR : Pengacara dan pelakon, Datuk AC Mizal, 54, mendedahkan dia sekeluarga tidak menyambut hari raya Aidilfitri di tanah air sebaliknya di Berlin, Jerman.
Kata AC atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, dia dan isteri memasang hasrat untuk menyambut Aidilfitri bersama anak lelakinya, Muhammad Reeve Damien yang kini berada di negara berkenaan bagi menyambung pelajaran.
Menurut AC, dia akan berada di sana sekurang-kurangnya tiga minggu bermula hari raya pertama iaitu esok.
“Insya-Allah raya pertama saya akan beraya bersama anak di Berlin, ini tahun kedua dia di sana.
“Kami bertiga akan pergi, tahun ini memang saya tolak kerja kerana rasa sudah tiba masa untuk fokus kepada keluarga,” katanya.
Katanya dia membuat keputusan itu selepas kehilangan ibu mentuanya pada 24 Februari lalu.
“Tahun lepas pun beraya dengan dia dan tahun ini ambil keputusan untuk bersama dia lagi sebab kami sekeluarga baru kehilangan ibu mentua yang sudah lama duduk dengan saya.
“Jadi nak bawa hati ini jauh sikit, kiranya kesedihan itu disambut dengan kegembiraan bersama anak,” katanya lagi.
Berkongsi lebih lanjut, AC memberitahu dia bersama anaknya sudah merancang pelbagai aktiviti bersama sepanjang raya nanti.
Malah dia juga bercadang ingin melawat kedutaan Malaysia di Berlin.
“Tahun ini mungkin kami sekeluarga akan berkunjung ke kedutaan di sana untuk merasai kemeriahan hari raya, tahun lepas tak sempat nak pergi,” kongsinya.
Untuk rekod, AC mendirikan rumah tangga dengan Emylia Rosnaida pada 10 Oktober 2002.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Damien, 21, dan Fea Eryssa, 17.