Rumah Produksi Merah umum projek besar, Wings bakal beraksi di London? - Utusan Malaysia

Rumah Produksi Merah umum projek besar, Wings bakal beraksi di London?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rumah Produksi Merah (RPM) mengumumkan beberapa perancangan besar bagi tahun 2025, termasuk penganjuran Wings Fest 40 Tahun, rancangan untuk membawa Wings ke London, konsert di penjara seluruh Malaysia, serta penerbitan dokumentari khas perjalanan empat dekad kumpulan rock legenda itu.

Menurut pengarah urusannya, Datuk Eddy Amir Salim, RPM ingin memperkasa industri hiburan tempatan bukan hanya melalui konsert, tetapi juga dengan kandungan berkualiti yang boleh memberi impak jangka panjang kepada peminat dan industri muzik secara keseluruhan.

Sebagai sebahagian daripada perancangan besar ini, Wings Fest 40 Tahun dijangka berlangsung pada Oktober atau November 2025. Dalam masa yang sama, RPM sedang berbincang untuk membawa Wings ke London bagi sebuah persembahan khas, namun keputusan mengenainya masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.

Selain itu, RPM turut merancang siri konsert di penjara seluruh Malaysia, bermula di Penjara Kajang, sebagai inisiatif untuk membawa muzik kepada golongan yang sedang menjalani pemulihan. Projek ini memerlukan sokongan dan dana daripada pelbagai pihak bagi memastikan kelancarannya.

RPM juga bakal menerbitkan dokumentari khas mengenai perjalanan 40 tahun Wings dalam industri muzik tanah air, merakamkan detik penting serta cabaran yang dihadapi oleh kumpulan tersebut sepanjang empat dekad dalam industri.

Dalam pada itu, RPM kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod untuk RTM, yang dibintangi Hazama dan Roy Azman. Tajuk drama ini masih dirahsiakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Datuk Eddy, RPM mahu memastikan setiap projek yang dirancang bukan sahaja memberi manfaat kepada artis dan peminat, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan industri hiburan secara lebih menyeluruh.

Dengan pelbagai perancangan yang sedang diusahakan, RPM berharap mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan kejayaan setiap inisiatif yang telah dirancang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN