Rezeki baharu selepas insiden ‘scammer’, Noraniza Idris sujud syukur - Utusan Malaysia

Rezeki baharu selepas insiden ‘scammer’, Noraniza Idris sujud syukur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Noraniza Idris. 57, mengakui terharu apabila perniagaan makanan ringan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu semakin mendapat sambutan ramai setelah diduga dengan insiden ‘scammer’ baru-baru ini.

Menurut Noraniza, mengetahui perkara itu dia sekeluarga turut melakukan sujud syukur sambil menangis kerana sekali gus keadaan itu membantunya menyelamatkan perniagaan yang telah diusahakan.

“Terus-terang, saya bersyukur yang amat sangat, sebab saya umpama terduduk dan tak tahu masa depan macam mana sampai hampir nak tutup kilang semasa kejadian ditipu itu berlaku.

“Sampai saya, suami dan anak sujud syukur serta menangis bersama atas rezeki yang Allah kurniakan secara tiba-tiba ini. Alhamdulillah saya dapat teruskan berniaga,” katanya.

Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin di Hotel Crystal Crown, semalam.

Jelas Noraniza, dia juga tambah terharu apabila pasaraya Mydin berminat dan menawarkan peluang menjual produknya keluarannya itu.

Bagi memenuhi permintaan itu, penyanyi lagu Dikir Puteri ini segera menambah seramai 32 orang pekerja untuk membantu menyiapkan tempahan dibuat.

Malah, kilang Noraniza juga terpaksa beroperasi selama 24 jam tanpa henti demi menyiapkan tempahan yang dibuat.

“Bila Mydin datang beri tawaran bekerjasama saya bersyukur dan terkejut dengan tempahan mereka mahukan.

“Staf daripada hanya empat orang saya cari dan tambah lagi 32 orang.

“Operasi kilang juga terpaksa saya jadikan 24 jam tanpa henti bagi menyelesaikan segala tempahan yang sudah dibuat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin pula menyatakan sokongan terhadap perkembangan usahawan tempatan terutamanya produk yang berpotensi untuk dipasarkan.

Sebelum ini, perniagaan Noraniza diduga apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan sebuah akademi latihan keusahawanan tahun lalu.

Pada 4 Mac lalu, Noraniza membuat laporan polis terhadap akademi berkenaan dan memberitahu dia dan syarikat terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM630,000.

Malah Noraniza memberitahu dia terpaksa merehatkan 20 orang pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya