KUALA LUMPUR : Duo pereka fesyen dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok mengakui berdebar-debar menunggu reaksi pendengar dan netizen terhadap lagu raya terbitan mereka berjudul Si Gadis Lebaran.
Pertama kali menjadi penerbit, lagu ciptaan bersama Tya Amida dan Farel Mikhail sendiri yang dinyanyikan oleh Aliff Azman ini merupakan satu percubaan berani FM Group.
Menurut Farel yang juga Pengarah FM Group, apa yang membuatkan dirinya berani mencuba sesuatu yang baharu adalah apabila melihat usahawan selebriti terkenal Datuk Seri Aliff Syukri yang kini menceburi dunia seni muzik.
“Tak dinafikan memang ada yang cakap, kalau dah jadi pereka fesyen itu, tak payah sibuk nak cipta dan terbitkan lagu. Fokus sahaja dunia fesyen.
“Bagi saya dan Jonathan, tak salah kami nak mencuba sesuatu yang baharu. Lagi pun fesyen dan dunia seni saling berkaitan. Belum cuba belum tahu.
“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihatlah dia, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi,”katanya.
Selain itu, kata Farel, semangat serta keberanian yang Aliff tonjolkan dalam media sosial telah banyak memberi dorongan kepada kedua-dua mereka untuk meneruskan keinginan ini.
“Mungkin ada orang masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko. Tetapi kami lihat Aliff berani mencuba dan tahu apa yang dia mahukan, sekali gus menjadikan dia mampu berada di tahap sekarang.
“Jadi, kami terinspirasi untuk terlibat sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit lagu Si Gadis Lebaran. Lagi pun, tak akanlah Aliff Syukri je nak ada lagu raya. Kami pun nak juga.
“Selain itu, antara tujuan kami buat lagu raya ini bukanlah sekadar nak memeriahkan sambutan Syawal dan industri muzik, tapi juga nak berkongsi bakat dalam bidang penulisan lagu,” katanya.
Dalam pada itu, Farel juga tidak menafikan lagu Si Gadis Lebaran adalah langkah pertamanya untuk serius dalam bidang muzik.
“Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.
“Bukan itu sahaja, beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.
“Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita,” katanya.
Menurut Farel, percubaan pertamanya mencipta lagu dan lirik lagu merupakan permulaan awal untuk lebih jauh dalam bidang muzik.
“Ada juga yang bertanya, kenapa tidak kami saja yang nyanyi lagu tersebut. Sebenarnya saya tiada bakat dalam menyanyi, tapi dalam cipta lirik dan melodi tu, saya berusaha yang terbaik dalam menggilap bakat yang ada.
“Saya sebenarnya serius dalam bidang ini, selepas ini mana tahu saya boleh cipta lagu dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL). Insya Allah, kalau ada rezeki, kita tak mampu tolak.
“Namun, masih banyak yang perlu saya belajar lagi. Kena buat banyak buat kajian, hadiri kelas yang sesuai dan mungkin dalami seni muzik. Semua itu perlukan proses,” katanya.