KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Aisha Retno, mengakui baharu sahaja melalui fasa sedih apabila hubungan cintanya dengan seorang jejaka berakhir si tengah jalan.
Menurut Aisha, meskipun masih mencuba untuk mengubati hati, secara peribadi dia percaya bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.
Malah, kata Aisha, pada waktu ini dia juga semakin bersemangat untuk memberi lebih tumpuan kepada kerjayanya.
Pada masa yang sama, Aisha berkata, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya mengakui agak sukar untuk mencari pasangan yang faham dengan cara kerja anak seni.
“Biasalah, bila seseorang itu memilih untuk berlalu dan pergi. Saya pun sudah dewasa. Kita tak boleh nak menahan orang lain untuk terus bersama kita. Dari sisi lain, saya kini sudah temui inspirasi untuk menulis lagu.
“Kami sudah berkenalan dalam beberapa bulan. Mungkin kini saya akan lebih fokus dalam kerjaya. Pada saya, putus cinta merupakan perkara biasa.
“Lagipun, buat masa ini, agak sukar untuk mencari seseorang yang faham cara kerja kita sebagai anak seni. Namun, saya tidak pernah nak menyalahkan pihak di sana,” katanya.
Penyanyi lagu Ketipak Ketipung Raya itu berkata demikian ketika mengadakan majlis berbuka puasa bersama pihak media dan peminat yang berlangsung di Taema Bnglw, Ampang, Khamis lalu.
Selain itu, kata Aisha, meskipun hubungan mereka sudah berakhir, dia dan bekas teman lelaki masih berkawan baik.
Bagaimanapun, ketika ditanya siapa jejaka tersebut, Aisha selesa memilih untuk kekal merahsiakan identitinya.
“Kami masih berkawan baik. Saya lebih suka mengekal hubungan baik ini. Dalam dunia ini, pusing-pusing ke mana pun kita akan berjumpa juga. Malaysia ini bukanlah besar sangat
“Kami mengakhiri hubungan ini dengan cara yang baik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Aisha turut memaklumkan perasaan sedih yang dilaluinya ketika ini juga ‘bonus’ buatnya kerana ia mencetuskan ilham untuk penulisan lagu yang akan dimuatkan di dalam album sulungnya nanti.
“Dengarkanlah album terbaharu saya nanti. Saya tumpahkan segala emosi di situ. Mungkin orang anggap hal ini sebagai sesuatu yang jenaka tapi ketika saya menuliskan lagu, air mata saya juga menitis.
“Bila saya menulis lagu buat seseorang, sudah tentu dia memberi kesan dalam hidup saya. Saya ingatkan insiden konsert batal itu sudah cukup sedih. Ternyata ada lagi yang lebih menyedihkan.
“Buat masa sekarang, saya memang serik bercinta. Biarlah saya fokus dengan kerjaya. Siapa yang nak datang, saya terima sahaja,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Aisha dan penyanyi, Aziz Harun juga telah melancarkan lagu Ketipak Ketipung Raya 2.0.