SINGAPURA : Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 40, mengakui, kedatangan Ramadan pada tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan mempunyai jadual kerja yang sangat padat.
Mengenangkan perkara itu, kata Sarah, sukar buatnya menepis rasa sedih kerana kurang menghabiskan masa dengan anak-anaknya demi melunaskan urusan kerja.
“Ramadan tahun ini agak sedih sebab kurang masa dengan anak-anak sebab sibuk berlakon dan berniaga.
“Tapi saya tetap akan cuba cari masa buat mereka,” katanya.
Selain itu, Sarah memberitahu dia juga belum sempat meluangkan masa bersama keluarga bekas mentuanya yang sudah menjadi amalan setiap tahun.
Bagaimanapun, Sarah bersyukur kerana keluarga bekas mentuanya faham situasinya dan berharap dapat menziarahi dan berbuka puasa bersama mereka dalam masa terdekat.
“Setiap tahun saya wajib buka puasa dengan bekas mentua jadi ralat juga sebab belum dapat lakukan lagi tahun ini.
“Walaupun sudah tiada apa-apa, satu kemestian untuk kami kekalkan silaturahim.
“Apapun mereka faham keadaan saya yang sedang cari rezeki, harapnya sebelum raya sempat berbuka puasa beramai-ramai,” jelasnya.
Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Syamsul Yusof pada 2014 namun meraka sah bercerai pada 14 Jun 2023.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah yang kini berusia 6 tahun.