Oscars: Zoe Saldana terus menyerlah - Utusan Malaysia

Oscars: Zoe Saldana terus menyerlah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pelakon antarabangsa, Zoe Saldana meraih kemenangan selepas diumumkan sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui filem ‘thriller’ muzikal, Emilia Perez sempena Anugerah Akademi Oscars yang ke-97 yang berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, pagi tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan aktres tersebut menewaskan calon lain iaitu Monica Barbaro (A Complete Unknown), Ariana Grande (Wicked), Felicity Jones (The Brutalist) dan Isabella Rosellini (Conclave).

Zoe yang menjayakan watak sebagai Rita Mora Castro menerusi filem Emilia Perez terharu kerana karakter itu memberi impak yang baik dalam kerjayanya.

“Saya tidak sangka atas kemenangan ini. Terima kasih kepada The Academy mengiktiraf kepahlawanan yang pendiam dan kuasa dalam diri seorang wanita seperti Rita.

“Bercakap tentang wanita berkuasa, rakan-rakan yang tercalon, kasih sayang dan komuniti yang kalian tawarkan kepada saya adalah hadiah yang berharga dan saya akan membayarnya di masa akan datang,” katanya ketika menerima anugerah tersebut.

Dalam pada itu, Zoe turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengarah, Jacques Audiard yang memberi kepercayaan untuk menjayakan watak tersebut serta ahli keluarganya yang sentiasa menyokong kerjaya lakonannya.

“Saya berbangga menjadi anak pendatang asing yang mempunyai impian, maruah dan sentiasa bekerja keras. Memandangkan saya memenangi anugerah ini untuk watak yang perlu menyanyi dan bercakap bahasa Sepanyol, nenek saya tentu gembira,” jelasnya.

Sementara itu, runut lagu filem Emilia Perez yang berjudul El Mal turut diumumkan sebagai Lagu Asli Terbaik sekali gus menewaskan calon lain seperti The Journey, Like a Bird, Mi Camino dan Never Too Late.

Anugerah berprestij antarabangsa itu turut menyaksikan filem Emilia Perez, The Brutalist, Conclave dan Wicked mendominasi pencalonan setiap kategori filem.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, aktor Kieran Culkin yang menjayakan watak sebagai Benji Kaplan menerusi naskhah A Real Pain telah dipilih sebagai pemenang.

Sementara itu, Adrien Brody (The Brutalist) dan Mikey Madison (Anora) telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pada acara gemilang itu.

Sekadar info, sebelum ini Zoe turut memenangi kategori yang sama selepas membintangi filem Emilia Perez pada Anugerah Golden Globe Ke-82 yang berlangsung pada Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya