KUALA LUMPUR: Penyanyi, Noraniza Idris memuji usaha ramai kalangan artis terutama golongan muda yang merancakkan lagi industri seni hiburan dengan karya-karya lagu raya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menurut Noraniza, usaha itu baginya sangat positif selain memuji penyanyi, Mimy Fly yang disifatkannya mampu pergi lebih jauh menerusi karya berjudul Serumpun ciptaannya.
Meluahkan pandangan, kata Noraniza, karya Serumpun mempunyai keunikan tersendiri namun masih mengekalkan seni dan sentuhan tradisional dalam bunyi kemodenan.
“Saya dengar semua lagu raya moden tetapi paling menambat hati saya adalah Serumpun nyanyian dan ciptaan Mimi Fly.
“Saya kagum dengan idea dia menghasilkan Serumpun dan pada saya Mimi satu-satunya artis yang mengangkat irama etnik kreatif sekarang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Noraniza bersetuju dengan pandangan lagu raya zaman kini sudah tidak sama kualitinya seperti dahulu.
Walaupun ada keinginan untuk protes, Noraniza bagaimanapun akur dengan situasi tersebut memandangkan trend media sosial yang semakin popular.
“Sekarang zaman Gen Z, jadi tak sama macam generasi dahulu.
“Kalau ikut hati memang saya protes tapi tak boleh melawan arus memang zaman dah lain.
“Di radio mahupun televisyen juga sudah ikut trend media sosial,” katanya.
Berkongsi lanjut, Noraniza berkata, bukan tiada kesyahduan namun kekurangan bahasa puitis dalam lagu raya moden membuatkan ia kurang melekat di hati.
“Bukan tiada kesyahduan langsung lagu raya sekarang, elemen kemelayuan pun ada sahaja.
“Cuma lagu sekarang lebih banyak bahasa pasar dan tiada lagi lirik yang berpuitis,” jelasnya.- UTUSAN