KUALA LUMPUR : Pelakon yang juga usahawan, Datuk Rosyam Nor, mendedahkan, gara-gara
impak watak haruan makan anak dalam drama Keluarga Itu, ada pihak menyeru orang ramai memboikot pasar raya miliknya, ST Rosyam Mart.
Bagaimanapun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, menyifatkan perkara tersebut sekadar gurauan netizen dalam media sosial selepas naskhah itu trending.
“Memang betul ada yang beritahu saya watak Iman membuatkan ada pihak mahu memboikot ST Rosyam Mart. Sebenarnya mereka tidak memboikot tetapi hanya bergurau.
“Dulu masa saya mula-mula nak buka ST Rosyam Mart pada 2018 pun ramai yang nak boikot, tapi Alhamdulillah apabila timbul perkara sebegitu mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan saya.
Rosyam berkata demikian sejurus usai Majlis Pembukaan Kompleks Beli Belah Pertama ST Rosyam Mall yang diadakan di Jalan Kebun, Klang, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, ST Rosyam Mall telah dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho.
Ditanya mengenai watak yang mencetus kontroversi, Rosyam menegaskan drama itu berkisarkan kisah sebenar dengan informasi terperinci tidak didedahkan kepada umum.
“Watak yang dibawakan tidak sensasi, tapi keadaan itu yang membuatkan perkara itu menjadi panas. Mungkin ramai dalam kalangan kita tahu perkara itu terjadi, tapi tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bahan bukti.
“Tapi melalui watak saya sebagai Iman dengan perlakuan saya yang nampak jijik dan menyeramkan, itulah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa terbabit.
“Selama ini mereka melihat orang yang mereka sayang tapi sebenarnya seorang binatang. Itulah watak Iman yang ditulis oleh Erma Fatima, kemudian saya bentuk watak itu sebagai satu insan yang melebihi sifat seorang iblis dan syaitan yang tidak mempedulikan darah dagingnya.
“Namun, jika dilihat sekarang ini ramai yang sudah mula berani tampil dan keluar daripada kepompong ketakutan untuk mengaku diri mereka menjadi mangsa,”katanya.
Kata Rosyam, dia pada awalnya menolak tawaran daripada pengarah dan penerbit, Erma Fatima kerana kekangan kerja.
Namun, dia bersetuju kerana ini adalah satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang sehingga watak Iman menjadi fenomena yang besar sehingga ke hari ini.
“Saya ada terbaca komen mengenai kredibiliti lakonan saya. Pada usia sekarang kerjaya lakonan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya
“Saya juga bersetuju lakonan ini adalah satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang sehingga watak Iman menjadi fenomena yang besar hari ini.
Dalam pada itu, pelakon filem KL Menjerit, menyatakan meskipun dirinya dikecam namun sudah lebih 300 juta orang bercakap mengenai watak Iman di media sosial.
“Walaupun banyak watak-watak yang dibentuk dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri, tetapi watak Iman di media sosial sudah melebihi 300 juta orang bercakap mengenainya.
“Sepanjang pembabitan saya sebagai pelakon, saya bersyukur diterima baik walaupun sudah lama tidak muncul dengan drama bersiri.
“Ini membuktikan peminat saya mengharapkan lakonan saya selain terus memberikan persembahan yang diterima oleh masyarakat walaupun mereka membenci watak itu,”ujarnya.