KUALA LUMPUR : Pelakon, Haneesya Hanee, 25, mengakui tidak mampu menepis pandangan negatif orang yang menganggap dirinya tidak sesuai memegang watak wanita kampung disebabkan rupa paras yang dimiliki.
Menurut Haneesya, dia menerima banyak komen sedemikian yang rata-ratanya menyifatkan wajahnya persis wanita asing dan itu menjadi sebab mengapa dia menerima banyak kritikan dan penghinaan di media sosial.
“Gara-gara membawakan watak Dahlia dalam drama berjudul Dia Imamku, saya terima banyak mesej dan komen negatif daripada penonton. Saya dikatakan tak sesuai bawa watak wanita kampung.
“Sebab muka saya ini terlalu unik dan tak nampak Melayu, kononnya wajah saya terlalu antarabangsa. Sedangkan saya di sini ingin membuktikan bahawa saya boleh jadi artis versatil.
“Umpamanya campak watak apa sahaja pun saya boleh buat. Geram juga bila orang komen tak sesuai. Kenapa pula saya tak boleh bawa watak orang kampung? Dulu saya duduk di kampung dengan nenek dan datuk, elok saja jadi orang kampung?”katanya dalam satu hantaran video di Instagram.
Jelas Haneesya, hakikat sebenar dia juga tertekan membawakan watak Dahlia kerana perlu sentiasa mengawal emosi lantaran menganggap ‘wanita’ berkenaan mempunyai personaliti yang berbeza dengan dirinya di dunia realiti.
“Saya memang kena banyak bersabar dengan diri sendiri sebab kena kawal emosi gara-gara Dahlia. Macam tak percaya ada orang seperti Dahlia ini, dengan ada adegan bomohnya.
“Terus-terang saya tertekan bawa watak Dahlia. Saya memang tak suka ‘dia’ sebab Dahlia ini bukan diri saya, dia jenis cakap tak fikir dahulu.
“Malah, kebanyakan adegan Dahlia ini dilakukan secara ‘outdoor’ contohnya macam di pusat beli belah. Tak semua orang tahu kita tengah adakan penggambaran.
“Jadi bila kena berlakon depan orang ramai, semua orang boleh tengok, dengan Dahlia yang berpakaian dan solekan pelik macam itu, sumpah saya rasa malu juga,”jelasnya.
Bagaimanapun, Haneesya berkata, dia akur melunaskan tugas sebagai seorang pelakon dengan baik atas nama kerjaya.
“Demi sebuah kerjaya, saya rela. Tetapi ia juga beri satu pengalaman yang baik sebab sekarang saya bertambah yakin,”ujarnya.
Dalam pada itu, Haneesya meminta semua penonton dan peminat drama tempatan supaya mengawal emosi apabila menonton lakonannya menerusi watak Dahlia itu.
“Netizen yang menghina, saya tak mampulaj nak buat apa-apa. Saya ini hanya menjalankan tugas sebagai pelakon dan cari rezeki halal. Maka saya berlakon betul-betul.
“Bila ada orang kata Dahlia ini menjengkelkan, ada yang menyampah sampai menghina ciptaan Tuhan, bagi saya itu antara awak dengan Tuhan, itu bukan masalah saya.
“Nanti pandai-pandailah awak minta maaf atau apa. Sepatutnya bawa-bawalah bersabar di bulan puasa ini, kawal perasaan dan emosi itu. Banyakkan istighfar,”katanya.
Drama Dia Imamku merupakan sebuah karya tulisan penulis skrip dan penerbit terkemuka tanah air, Siti Rosmizah Semail dan diarahkan oleh Feroz Kader.
Selain Haneesya, drama yang bersiaran di saluran Astro Ria, Astro One dan Sooka ini turut dibintangi oleh Siti Saleha dan Kamal Adli.