KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti serba boleh, Roslan Shah, menafikan tuduhan dia mencuri wang berjumlah RM66,000 (SGD 20,000) milik pempengaruh serta usahawan terkenal Singapura, Mangobossku.
Menurut Roslan, video tular di TikTok berhubung dakwaan wang itu telah ditemui di dalam beg miliknya adalah sebahagian daripada ‘ujian kejujuran’ yang dirancang oleh pempengaruh itu sendiri.
“Mangobossku memang selalu bergurau kasar, tapi saya tak pernah ambil hati sebab saya kenal hati budi dia.
“Selama lebih setahun perkenalan kami, dia memang orang yang baik. Saya sudah anggap dia macam keluarga sendiri.
“Selain Mangobossku saya juga rapat dengan isteri dan anak-anaknya. Mereka memberi kepercayaan penuh kepada saya termasuk pernah memberi kata laluan untuk masuk ke rumah yang dipenuhi barang berharga termasuk wang tunai.
“Malah mereka selalu bawa saya bercuti ke luar negara. Jadi untuk saya mencuri duit jualan memang tidak pernah terlintas. Saya ikhlas berkawan dan tidak mahu rosakkan persahabatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akui Roslan, meskipun ramai cuba menjauhkan hubungannya dengan pempengaruh itu namun persahabatan mereka kekal utuh tambahan pula dia tidak pernah mengambil kesempatan terhadap rakan baiknya itu.
“Banyak mata yang memandang dan mahu menjejaskan persahabatan kami. Sejak video ini tular, ramai yang menelefon Mangobossku bertanya mengenai hal itu.
“Namun dia percaya saya 100 peratus. Dia sahabat yang baik dan saya tidak tergamak melakukan sesuatu yang dia tak suka,” katanya.
Menceritakan kronologi wang tunai sebanyak SGD 20,000 yang dimasukkan ke beg Roslan,
Mangobossku yang kini menjalankan perniagaan kunafa dan memiliki 13 gerai beraneka makanan di Singapura berkata, dia sengaja berbuat demikian kerana mahu menguji kejujuran Roslan.
“Ketika Roslan pergi ke tandas, saya minta kakitangan masukkan duit tunai SGD20,000 ke dalam beg miliknya.
“Jadi ketika dia membuat siaran langsung di TikTok, saya pun jalankan kerja dan mencari duit yang hilang.
“Sepanjang mengenalinya dia tidak pernah mencuri. Kalau dia tiada duit, dia akan minta dengan saya.
“Pernah saya tinggalkan duit ketika dia ada, satu sen pun tak hilang. Saya selalu saja bawa duit jualan ke rumah dan mengajaknya, tapi dia tak pernah mencuri atau ambil barang saya,”ujarnya.
Menurut Mangobossku atau nama sebenarnya Mohammad Hussin Said lagi, walaupun video ujian kejujuran yang dimuat naik mendapat kecaman hebat, dia bagaimanapun enggan ambil peduli.
“Walaupun orang kecam, saya hanya mampu cakap apa saja kandungan yang dimuat naik anda tengok boleh, tapi jangan percaya dengan melalu,” katanya.
Terdahulu dalam video berdurasi lebih dua minit itu, Roslan pada awalnya menganggap Mangobossku hanya bergurau atau melakukan ‘prank’.
Namun, situasi bertukar serius selepas wang SGD 20,000 itu benar-benar dijumpai dalam begnya.
Menafikan dakwaan itu, Roslan dilihat menangis teresak-esak sambil mempertahankan dirinya daripada tuduhan mencuri.
Video yang dikongsikan oleh Mangobossku itu telah meraih hampir 200,000 tontonan di TikTok dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Ada yang bersimpati dengan Roslan, namun terdapat juga netizen yang membuat spekulasi bahawa penyanyi itu mungkin dianiaya.