KUALA LUMPUR: Pengacara, Hawa Rizwana menyangkal dakwaan rambang kononnya dia kini sudah mempunyai kekasih hati.
Menurut Hawa atau Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 30, perkara itu mustahil kerana buat masa ini dia tidak memberi tumpuan kepada perihal cinta atau komitmen dengan sesiapa.
Malah, kata Hawa, dia juga memilih untuk senang berkawan dengan sesiapa sahaja dan tiada lelaki spesifik yang menghuni hatinya pada waktu ini.
“Siapa? Setakat ini saya memang belum ada perancangan untuk mengenali lelaki hingga ke fasa seterusnya.
“Saya cuma berkawan sahaja dengan semua orang dan tiada sesiapa lelaki yang istimewa buat masa sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Hawa mengakui sekarang bukanlah masa sesuai untuk dirinya memikirkan soal cinta.
Jelas Hawa, ini berikutan kesibukannya dalam menguruskan kerjaya dan perniagaan tudung yang baru sahaja dilancarkan.
“Bagi saya sekarang masa yang sangat mencabar, saya pula sangat sibuk sebab baru buka perniagaan sendiri.
“Jadi nak fokus pada hubungan istimewa itu susah dan belum ada yang boleh terima perkara itu.
“Apa-apa pun saya terbuka untuk berkenalan dengan sesiapa, harapnya ada calon sesuai buat saya nanti,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hawa meluahkan rasa gembira apabila perniagaan tudungnya menerima sambutan baik daripada pembeli semasa karnival juala raya Celebfest di Singapura pada 7 hingga 9 Mac lalu.